Esok, kita menyambut Hari Kebangsaan. Genap 69 tahun sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Dan mungkin tahun ini, lebih daripada kebiasaannya sejak sekian lama, kita patut berhenti seketika dan meninjau sekeliling.
Bukan pada hiruk-pikuknya.
Tetapi pada realitinya.
Kerana ketika segelintir badut politik, oportunis kaum dan agama, jaguh-jaguh ketupat celup yang perasan agung, serta golongan elit intelektual yang perasan bagus menghabiskan masa memberitahu kita bahawa Malaysia kononnya sedang ranap, Malaysia sebenarnya secara senyap sedang melakukan sesuatu yang merimaskan naratif mereka.
Kita sedang melonjak naik.
Cuba pandang Malaysia dari luar, dengan fikiran yang jernih dan tutup telinga daripada segala kekecohan itu seketika.
Dunia semakin melihat sebuah negara yang berwibawa. Sebuah negara yang berdiri teguh di tengah-tengah rantau ASEAN. Negara yang dipercayai oleh Timur dan Barat. Negara yang boleh berdialog dengan China, Amerika Syarikat, India, Eropah, dan dunia Islam tanpa menjadi pak turut kepada sesiapa.
Pelaburan terus masuk mencurah-curah. Perdagangan memecah rekod. Ekosistem semikonduktor dan teknologi kita semakin penting dalam ekonomi global. Malaysia kini muncul sebagai salah satu penerima manfaat terbesar dalam penyusunan semula rantaian bekalan dunia.
Malah, sewaktu memegang jawatan Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sekadar duduk di kerusi itu.
Kita memimpin.

Kita membantu memberikan ASEAN visi untuk dua dekad yang seterusnya. Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tempat di sekeliling meja di mana negara-negara yang tidak selalu sependapat boleh duduk berbincang bersama.
Dalam dunia yang semakin berpecah-belah, Malaysia semakin relevan. Itu sepatutnya membuatkan setiap rakyat Malaysia berasa bangga.
Tetapi nampaknya tidak semua.
Kerana ketika Malaysia melangkah ke hadapan, masih ada pihak yang terdesak mahu menarik kita ke belakang.
Mereka tiada visi ekonomi.
Tiada idea bernas untuk masa depan Malaysia.
Tiada jawapan terhadap kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, gangguan teknologi, reformasi pendidikan, ketidaksamaan, mahupun perubahan ekonomi global.
Jadi, apa yang mereka ada?
Kaum.
Agama.
Ketakutan.
Kemarahan.
Syak wasangka.
Kebencian.
Taktik politik lapuk daripada buku panduan politik paling murahan.
Bila tiada idea, cari orang lain untuk dipersalahkan. Bila tidak mampu memberi inspirasi, cetuskan ketakutan. Bila tidak mampu membina apa-apa, pecah-belahkan apa yang sedia ada.
Dan apabila anda gagal memujuk rakyat Malaysia untuk melangkah ke masa depan bersama anda, yakinkan mereka bahawa orang lain sedang cuba merampas masa lalu mereka.
Itu bukan kepimpinan. Itu muflis akal budi.
Dan saya sudah penat berlakon seolah-olah ia bukan satu masalah.
Ada dalam kalangan mereka ini yang lemah. Ada yang bodoh. Ada yang tamak. Ada yang sekadar kebulur kuasa dan ada juga yang berjaya mencapai tahap 'cemerlang' dengan memiliki kesemua empat sifat itu sekaligus.
Tetapi mereka hanya berbahaya jika kita, rakyat kebanyakan, membenarkannya.
Kerana inilah rahsia besar yang mereka paling gerun untuk rakyat Malaysia sedari:
Mereka bukan majoriti. Kita majoritinya.
Rakyat Malaysia biasa yang bekerja bersama, makan bersama, ketawa bersama, membina perniagaan bersama, belajar bersama, dan menjaga antara satu sama lain.
Melayu. Cina. India. Dayak. Kadazan-Dusun. Iban. Bidayuh. Orang Asli. Sikh. Eurasian. Muslim. Buddha. Hindu. Kristian. Tao. Ateis. Serta setiap kombinasi hebat yang ada di celah-celahnya.
Kita memang bercelaru.
Kita selalu berbalah.
Tuhan sahaja tahu betapa kita suka merungut.
Tetapi apabila tiba saat yang penting, ada sesuatu yang jauh lebih mendalam menghubungkan kita.
Kita adalah rakyat Malaysia.
Saya pernah menulis sebelum ini bahawa kita ini unik dalam kepelbagaian. Saya lebih yakin dengan kata-kata itu hari ini berbanding dulu.
Kepelbagaian kita bukanlah harga yang perlu dibayar kerana menjadi Malaysia. Kepelbagaian kita adalah sebab mengapa Malaysia ini berjaya. Dan mungkin itulah yang paling ditakuti oleh golongan ekstremis kerana setiap kejayaan Malaysia membuktikan mereka silap.
Setiap anak Melayu dan Cina yang membina syarikat bersama membuktikan mereka silap.

Setiap orang Islam yang melindungi gereja, setiap orang Kristian yang menghormati masjid, setiap penganut Hindu yang meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan, setiap keluarga Malaysia yang menghimpunkan tiga budaya di satu meja makan, semuanya membuktikan mereka silap.
Malaysia sendiri adalah jawapan balas yang menolak ideologi songsang mereka.
Maka, mungkin sudah tiba masanya majoriti yang bersikap sederhana berhenti daripada terus bersopan santun secara berlebihan.
Ada "orang gasar" di luar tembok kota kita. Mereka bukan gasar kerana kaum, agama, atau parti politik mereka.
Mereka menjadi gasar kerana mereka sanggup membakar rumah Malaysia ini semata-mata untuk menjadi raja di atas seonggok abu.
Kita mesti tentang mereka.
Bukan dengan keganasan. Bukan dengan penapisan. Dan sudah tentu bukan dengan kebencian yang mereka jual setiap hari.
Kita tumpaskan mereka dengan keberanian.
Dengan idea.
Dengan kemajuan ekonomi.
Dengan pendidikan.
Dengan peluang.
Dengan pemerintahan berpelembagaan.
Dan yang paling penting, dengan suara lantang rakyat Malaysia yang berkata:
Cukup-cukuplah! Kamu tidak boleh memecah-belahkan negaraku.
Kamu tidak boleh mengajar aku bahawa jiran sebelah rumahku adalah musuhku.
Kamu tidak boleh memperalatkan Tuhanku untuk kerjaya politikmu.
Kamu tidak boleh menentukan siapa yang cukup "Malaysia" atau tidak.
Kamu tidak boleh mewariskan prejudis busukmu kepada anak-anakku.
Dan kamu tidak boleh mengheret Malaysia ke belakang hanya kerana kamu ketandusan idea bernas untuk masa depannya.
Ini negara aku.
Ini Malaysia aku.
Dan kamu tidak boleh, kamu tidak akan sekali-kali menang.
Kerana kita terlalu kuat.
Kita terlalu erat bersatu.
Kita terlalu degil untuk mengalah.
Kita terlalu bersatu padu.
Kita terlalu berjiwa Malaysia.
Berubahlah. Undur diri. Atau sejarah akan melangkah memijak kamu dalam perjalanannya ke hadapan.
Dan ada satu lagi perkara yang mesti kita ingat esok.
Tanggal 31 Ogos adalah tarikh yang amat penting. Itulah hari Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Namun, naratif Malaysia kita masih belum lengkap. Keluarga nasional kita yang sebenar disatukan pada 16 September 1963, apabila Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia.
Bukan sebagai tuan dan hamba.
Bukan sebagai pusat dan pinggiran.
Tetapi sebagai rakan kongsi dalam satu takdir yang dikongsi bersama.
Saya pernah menulis sebelum ini bahawa Hari Malaysia sepatutnya mendapat tempat yang jauh lebih besar dalam kesedaran nasional kita.
Saya lebih berpegang pada pandangan itu hari ini kerana kita di Semenanjung mesti mempunyai sifat rendah diri untuk mengaku sesuatu.
Kita telah mengecewakan Sabah dan Sarawak lebih daripada sekali.
Kita kadangkala menganggap perkongsian ini sebagai hak mutlak kita. Kita mengambil sumber kekayaan, sokongan politik, dan kesetiaan mereka, tetapi gagal memberikan rasa hormat, pembangunan, dan kesaksamaan seperti yang dituntut dalam perjanjian Malaysia.
Itu mesti terus berubah.
Dan sesuatu yang luar biasa telah berlaku sepanjang perjalanan ini.
Sabah dan Sarawak, di sebalik pelbagai cabaran, telah mula mengingatkan kita semua bagaimana rupa sebenar menjadi warga Malaysia.
Lihatlah cara hidup bersama secara semula jadi.
Lihatlah betapa selesanya mereka menerima perbezaan.
Lihatlah komuniti di mana agama tidak secara automatik dijadikan senjata politik, dan etnik tidak perlu menentukan siapa yang boleh berkawan.
Mungkin pusat graviti Malaysia sedang berubah.
Mungkin orang yang suatu ketika dahulu kita fikir perlu belajar daripada Kuala Lumpur, kini mempunyai sesuatu yang jauh lebih penting untuk diajar kepada Kuala Lumpur, iaitu cara untuk menjadi rakyat Malaysia yang sejati.
Kepada adik, abang dan kakak saya di Sabah dan Sarawak:
Terima kasih.
Terima kasih kerana terus percaya kepada Malaysia.
Terima kasih kerana mengingatkan kita tentang apa sebenarnya matlamat penubuhan persekutuan ini.
Dan terima kasih kerana menunjukkan kepada kami bahawa masa depan kita tidak semestinya kelihatan hodoh seperti politik mereka.
Dalam masa dua minggu sahaja lagi, pada 16 September, kita akan meraikan perkongsian itu dan saya berharap suatu hari nanti Hari Malaysia akan menjadi sambutan kebangsaan yang gah seperti yang sepatutnya iaitu sambutan memperingati detik apabila kita semua benar-benar menjadi Malaysia.
Namun esok, kita menghormati Hari Kebangsaan.
Kita menghargai mereka yang memberikan kita kebebasan.
Tetapi kebebasan tidak pernah diwarisi untuk selama-lamanya.
Setiap generasi perlu mempertahankan kebebasan itu. Perjuangan generasi kita adalah berbeza. Kita tidak berdepan dengan penjajah asing di depan mata. Perjuangan kita adalah menentang minda-minda yang kerdil.
Menentang rasuah.
Menentang perkauman.
Menentang ekstremisme agama.
Menentang mereka yang meraih keuntungan dengan menjadikan rakyat Malaysia saling ketakutan antara satu sama lain.
Menentang fahaman bahawa menyayangi kaum sendiri bermaksud kita perlu mencurigai kaum orang lain.
Dan menentang sikap membisu orang-orang baik.
Sikap yang terakhir inilah yang mungkin paling berbahaya kerana golongan ekstremis jarang sekali menang kerana mereka majoriti.
Mereka menang kerana majoritinya sudah penat bersuara.
Justeru, jangan jadi penat.
Bangkitlah.
Bersuaralah.
Cabar segala omongan kosong itu.
Pertahankan jiran anda.
Pertahankan Perlembagaan kita.
Pertahankan eksperimen terhebat yang dinamakan Malaysia.
Malaysia terus bergerak maju.
Ekonomi terus bergerak.
Pelaburan terus masuk.
Kedudukan antarabangsa kita terus meningkat.
ASEAN menoleh kepada Malaysia untuk mendapatkan pimpinan dan rakyat Malaysia terus tekun membina Malaysia.
Masih banyak lagi yang tempang.
Masih ada kemiskinan yang perlu kita hapuskan.
Sistem pendidikan yang perlu kita perbaiki.
Institusi yang perlu kita kukuhkan.
Rasuah yang mesti terus kita perangai.
Anak-anak muda Malaysia yang perlu kita yakinkan bahawa masa depan terbaik mereka ada di sini, di tanah air sendiri.
Patriotisme tidak bermaksud kita harus menutup mata terhadap semua kelemahan ini.
Saya sentiasa percaya sebaliknya.

Anda mengkritik negara anda kerana anda amat menyayanginya sehingga anda menuntut yang lebih baik. Tetapi jangan sekali-kali mengelirukan erti kritikan terhadap kegagalan Malaysia dengan perbuatan hilang kepercayaan terhadap Malaysia.
Saya tidak akan sekali-kali berputus asa.
Saya telah mengelilingi dunia.
Saya telah melihat negara-negara yang lebih kaya daripada kita, lebih besar daripada kita, dan lebih berkuasa daripada kita.
Namun saya tetap percaya:
Tiada negara yang setanding dengan Malaysia.
Ada sesuatu yang luar biasa di sini.
Itulah jiwa Malaysia.
Dan ia adalah hak milik kita semua.
Mereka yang dilahirkan di dalamnya.
Mereka yang mewarisinya.
Setiap anak watan sejati di bumi ini yang menoleh ke arah negara ini dan berkata:
Ini milikku.
Bukan milikku untuk mengetepikan milikmu.
Tetapi milikku bersama milikmu.
Itulah Malaysia.
Itulah negara yang berbaloi untuk kita pertahankan.
Oleh itu, esok, biarlah majoriti yang sederhana ini tidak lagi membisu. Biarlah suara kita bergema dari Perlis hingga ke Johor, dari Kuala Lumpur hingga ke Kota Kinabalu, dari Pulau Pinang hingga ke Kuching.
Ini negara kita.
Ini Malaysia kita.
Dan kita tidak akan menyerahkan walau sejengkal pun jiwa negara ini kepada para pedagang ketakutan.
Kita sedang melangkah ke hadapan.
Mari sertai kami.
Atau ketepilah.
Kerana hari-hari terhebat Malaysia bukanlah di belakang kita.
Ia sedang menanti di hadapan.
Dan tiada apa pun terutamanya segelintir lelaki pengecut yang menjual kebencian lapuk yang mampu menghentikan kita.
Kita unik dalam kepelbagaian.
Kita adalah majoriti.
Kita adalah Malaysia.
Selamat Hari Merdeka, saudara-maraku sekalian.
Dan pada 16 September nanti, kita raikan hari di mana seluruh keluarga besar Malaysia kita bersatu padu.
Semoga Yang Maha Esa merahmati kita semua.
Tuhan pelihara Malaysia. - Getaran, 30 Ogos 2026



