‘Mereka dermawan, suka membantu’ – Isteri Loe salur sumbangan di Nepal

5 Sep 2026 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Mereka dermawan, suka membantu’ – Isteri Loe salur sumbangan di Nepal
Hani bersama NGO tempatan bergerak ke kawasan terjejas dari Nuwakot menuju Betrawati bagi meneruskan misi bantuan.
Image from: ‘Mereka dermawan, suka membantu’ – Isteri Loe salur sumbangan di Nepal
Hani (kanan) menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Nepal pada Jumaat sebagai mewakili Team Loe.

SHAH ALAM – Ketika masih menanti perkembangan pencarian suami bersama lapan lagi pendaki Malaysia yang hilang susulan bencana banjir besar di Nepal, Hani Othman mengambil peluang menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas dan anak yatim di negara itu.

Lebih bermakna, sumbangan daripada rakyat Malaysia itu disalurkan atas nama kesemua sembilan pendaki terbabit sebagai meneruskan sifat mereka yang bagi Hani sangat dermawan dan gemar membantu orang lain.

Hani yang kini berada di Nepal bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi pencarian berkata, sumbangan berkenaan turut dibuat atas nama suaminya, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe.

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, dia berkata, bantuan berkenaan diedarkan di sekitar Kathmandu pada Jumaat termasuk kepada mangsa yang baharu tiba di ibu negara itu selepas diselamatkan di Timure.

Hani turut bertemu isteri kepada pemandu yang membawa Team Loe sebelum kumpulan pendaki Malaysia berkenaan dilaporkan hilang.

“Jadi, atas bantuan rakyat Malaysia yang turut sama menyumbang, saya salurkan semula sumbangan ini kepada mangsa terjejas dengan banjir dan anak yatim di Nepal bagi pihak (sembilan pendaki).

“Sepanjang saya mengenali mereka, mereka semua orang baik-baik. Mereka juga dermawan dan suka membantu orang lain,” katanya.

Lapan lagi pendaki berkenaan ialah Shabudin Mun, Azman Karim, Mohd Padzil Daros, Muhammad Haziq Ismail, Mohd Nohan Salim, Jason Ngeow, Muhamad Nasir Abdul Talib dan Mohd Sani Harul.

Dalam pada itu, Hani turut mengajak orang ramai mengetepikan perbezaan agama dan bangsa untuk bersama-sama mendoakan keselamatan suaminya serta lapan lagi anggota Team Loe.

“Semoga ALLAH permudahkan segala urusan pencarian mereka dan melindungi mereka semua tak kira di mana mereka berada.

“Ketepikan dulu perbezaan agama dan perbezaan bangsa, kita doakan yang baik-baik untuk mereka semua,” ujarnya.

**media[3637174]**

Dalam hantaran berasingan, Hani memaklumkan dia turut bergerak ke kawasan terjejas dari Nuwakot menuju Betrawati bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi meneruskan misi bantuan.

Jelasnya, perjalanan itu dilakukan bersama NGO Samundra Nepal dan Himalayan Leaders.

“Saya sedang menuju ke kawasan terjejas dari Nuwakot ke Betrawati bersama NGO tempatan, Samundra Nepal dan Himalayan Leaders.

Sebelum ini, Hani dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi pencarian suaminya dan anggota Team Loe selepas mereka hilang susulan bencana berkenaan.

Keputusan itu dibuat kerana dia mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.

Pada Khamis lalu, penantian Hani turut diselubungi emosi apabila tarikh berkenaan merupakan ulang tahun perkahwinan ke-10 pasangan itu dan Loe sepatutnya pulang ke tanah air pada hari sama.

“Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah ulang tahun perkahwinan,” luahnya.

Pasangan itu juga mempunyai beberapa perancangan bersama termasuk menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada Ahad, melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman pada Oktober serta mendaki Gunung Rinjani dan Gunung Kilimanjaro tahun depan.

Malah, Hani sebelum ini turut berkongsi mengenai impian Loe untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest yang masih belum terlaksana dengan dia berjanji untuk berlatih dan menemani suaminya merealisasikan impian tersebut.

Team Loe dilaporkan hilang selepas banjir dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet ketika kumpulan berkenaan dalam perjalanan menuju ke kawasan terbabit.

Kumpulan itu dipercayai berada di sebuah lembah ketika bencana berlaku sebelum hubungan dengan mereka terputus.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved