Rakyat Palestin yang mendapatkan rawatan di negara ini akan dihantar pulang selepas mendapatkan rawatan.
Menurut Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, ia merupakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan dengan pemimpin Palestin sebelum ini.
Tambahnya juga rakyat Palestin sendiri sukar untuk meninggalkan tanah air mereka dan lebih rela mati di tanah air sendiri.
“Janji kita bawa ke sini untuk berikan sedikit bantuan perubatan kepada anak-anak (Palestin) yang cedera dan mesti menghantar mereka balik.
“Tidak ada persoalan mereka ini akan tinggal di sini untuk jangka masa lama. Mereka mahu kembali semula ke tanah air,” katanya.
Mengulas isu ini juga, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, menegaskan rakyat Palestin yang cedera dan kini menerima rawatan di Malaysia tidak akan tinggal di negara ini secara kekal.
Beliau turut berasa terkejut dengan reaksi negatif dengan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan Malaysia. Katanya, rakyat Malaysia tidak perlu memandang isu ini sebagai isu politik tetapi memandang kepada isu kemanusiaan.
Terdahulu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro
The post ‘Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri’ – Rakyat Palestin akan pulang selepas selesai rawatan appeared first on The Reporter.



