‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’

11 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’

BATU PAHAT – “Mereka memang tidak boleh berenggang. Sejak kecil, ke mana sahaja seorang pergi, seorang lagi pasti ada bersama.”

Demikian ujar Norbani Mahpol, 41, berhubung keakraban dua anak saudaranya yang seolah-olah berjanji untuk sehidup semati apabila mereka ajal bersama dalam nahas membabitkan sebuah lori sampah di Jalan Seremban-Johor Bahru berhampiran Taman Medah, Ayer Hitam, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.21 petang itu, Siti Nurbatrisya Mohd. Halid dan anak saudaranya, Siti Nurmaisarah Abdul Jalil yang masing-masing berusia 22 tahun tersepit di dalam kereta Perodua Myvi dinaiki mereka sebelum terbakar dan rentung.

Image from: ‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’Image from: ‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’

Norbani, berkata, Siti Nurbatrisya merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik, manakala Siti Nurmaisarah juga anak bongsu daripada dua beradik.

“Mereka dilahirkan pada tahun sama dengan perbezaan beberapa bulan dan membesar bersama memandangkan rumah keluarga mereka terletak bersebelahan di Kampung Parit Sagil.

“Meskipun dari segi hubungan kekeluargaan Siti Nurbatrisya ibu saudara kepada Siti Nurmaisarah, hubungan mereka lebih menyerupai adik-beradik kerana terlalu rapat sejak kecil.

“Mereka bersekolah bersama dari sekolah rendah hingga tamat Tingkatan Enam. Malah, kedua-duanya turut mengikat tali pertunangan pada tarikh yang hampir sama, April lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kampung Parit Sagil semalam.

Cerita Norbani, pada mulanya Siti Nurbatrisya menaiki kereta, manakala Siti Nurmaisarah me­nunggang motosikal ke tempat kerja mereka di Jalan Yong Peng.

“Namun, cuaca hujan menyebabkan Siti Nurbatrisya berpatah balik ke kampung untuk mengambil Siti Nurmaisarah supaya dapat pergi bekerja bersama.

“Sebelum keluar bekerja semalam (kelmarin), Siti Nurbatrisya dikatakan merenung wajah ibunya, Hamidah Sulaiman, 66, seolah-olah itu tatapan terakhirnya.

“Nurmaisarah pula memang sudah biasa pergi bersamanya dari rumah, tidak kira bagaimana keadaan cuaca,” katanya.

Image from: ‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’
KEADAAN kereta Perodua Myvi yang terbakar selepas terlibat nahas dengan sebuah lori sampah di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng kelmarin.

Katanya, jenazah dua anak saudaranya dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Taman UPC, Ayer Hitam, selepas solat zuhur semalam.

Sementara itu, sepupu ­mangsa, Daniel Aiman Low, 20, berkata, kunjungan kedua-dua mangsa ke kedai makan yang diusahakannya kelmarin menjadi kenangan terakhir yang sukar dilupakan.

“Saya berasa sedikit janggal melihat mereka makan di kedai berkenaan kerana kebiasaannya dua sepupu saya itu hanya membeli makanan secara bungkus untuk dibawa pulang.

“Saya langsung tidak me­nyangka kedatangan mereka untuk makan di kedai semalam menjadi kenangan terakhir bersama.

“Pemergian mereka pasti meninggalkan kesan besar dalam kehidupan kami sekeluarga kerana mereka memang rapat dengan semua orang,” katanya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan dua wanita maut selepas tersepit di tempat duduk masing-masing apabila kereta Perodua MyVi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori sampah pada pukul 4.21 petang. -KOSMO! ONLINE

The post ‘Mereka tak boleh berenggang, bersama hingga akhir hayat’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved