
SANDAKAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata mereka yang meninggalkan parti adalah golongan yang tewas dalam perjuangan dan tiada nilai perjuangan yang boleh diteladani.
Menurut beliau, apa yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab dan yang bertahan teguh pada prinsip serta pendirian biar apa pun kesukaran dan cabarannya.
“Pertama, tindakan lari daripada parti jelas menunjukkan sisi sebenar diri mereka yang selama ini kita tidak ketahui. Tidak usah kita risau. Mereka yang lari daripada wadah perjuangan ini tidak akan merugikan kita. Sudah lumrah, ibarat sebuah perkahwinan, jika takdirnya adalah perpisahan, maka berpisahlah,” katanya.
Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Gagasan Rakyat terbuka menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang dipecat.
Tiga Adu yang dipecat itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
Menurut Bung GRS pada bila-bila boleh mengambil bekas pemimpin Umno yang khianat kepada parti, malah sebelum ini dalam kenyataan mereka tiga Adun yang terlibat sudah menyatakan sokongan mereka kepada Hajji sekali gus menyokong GRS.
“Apapun sebelum pemecatan dibuat perkara ini telah dirujuk kepada Lembaga Displin parti dan dikeluarkan surat tunjuk sebab ,namun mereka enggan berhadapan dengan Lembaga Displin dan selepas itu perkara ini dirujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi sebelum pemecatan dilakukan.
“Kita mengikut prosidur parti yang ditetapkan,” jelas Bung.
Menurut beliau, dalam setuasi ini Umno khususnya Umno Sabah akan merasa lebih selamat bersama pemimpin dan ahli yang memiliki prinsip kesetiaan dalam parti daripada menyimpan pemimpin yang seperti ‘gunting dalam lipatan’.
Bung menambah apa pun cabaran yang berlaku, Umno Sabah perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama Umno.
“Ketidaksudian mereka ini menzahirkan kelemahan prinsip, etika, semangat dan jati diri.
“Paling menyedihkan dan dikesalkan, dalam semua perkiraan ini (wang, pengaruh, jawatan dan kuasa) tidakkah sedikit pun mereka ini fikir tentang satu perkara yang paling penting? Iaitu rakyat dan pengundi yang mengangkat mereka. Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka buang atas nama parti asal mereka itu (Umno) sedikit pun tidak bernilai,” kata Bung.
Bagi Bung, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, paling penting ialah pejuang sebenar ialah mereka yang tidak pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya apa lagi Umno merupakan parti keramat yang lahir dari suara rakyat dibina atas semangat perjuangan, bukan atas dasar tamak kuasa.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, tindakan mengalu-alukan pelarian Umno menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.
Bung menambah mungkin ada yang beranggapan bahawa ahli-ahli politik yang telah meninggalkan Umno untuk menjadi bebas mahupun menyertai wadah-wadah politik lain, adalah pejuang tapi sebenarnya mereka bukan pejuang, mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan.
Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka, katanya.
“Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik tidak sihat. Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk parti tetapi mengaut manfaat untuk kepentingan peribadi,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



