Meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, Adun Taman Medan agih 2,000 limau

5 Feb 2024 • 12:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

PETALING JAYA - Pemberian limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina menjadi tradisi masyarakat Tiong Hua saban tahun yang melambangkan kebahagiaan dan penghargaan.

Justeru, bagi memastikan tradisi itu terus dimeriahkan dan menunjukkan semangat muhibah antara kaum di negara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin mengedarkan limau mandarin kepada penduduk kawasan itu di Pasar PJ Old Town Jalan Othman di sini, hari ini.

Penyerahan bermula pada jam 8 pagi itu menyaksikan 80 kotak dengan keseluruhannya kira-kira 2,000 limau mandarin, diagihkan kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Selain turun padang menyerahkan limau itu bersama pasukannya, Dr Afif mengambil peluang bertanya khabar dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar berkenaan.

Malah, beliau meluangkan masa mendengar isu setempat dikongsikan mereka.

image is not available
Dr Afif Bahardin mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar di Pasar PJ Old Town Jalan Othman ketika mengedarkan limau. - Muharram Kasim/Scoop, 4 Februari, 2024

“Hari ini kita bersama dengan sayap Bersekutu Bersatu Petaling Jaya dan rakan-rakan di sini daripada pasukan Pusat Khidmat Taman Medan turun ke Pasar PJ Old Town Jalan Othman.

“Ini bertujuan untuk kita bersama pengunjung dan peniaga bagi menyerahkan limau dan menyampaikan ucapan selamat sempena Tahun Baru Cina,” katanya kepada Scoop.

Sementara itu, seorang pengunjung yang dikenali Lim Teoh berkata, usaha dijalankan pasukan Dr Afif memberi makna besar kepada masyarakat Cina.

“Terima kasih, ini menunjukkan beliau meraikan dan baik dengan penduduk kawasannya tanpa mengira kaum serta agama.

“Saya harapkan masyarakat Malaysia terus mengamalkan budaya mesra seperti ini, tidak kira lah semasa perayaan apa pun,” katanya. - 4 Februari, 2024