
JOHOR BAHRU - Mersing menjadi daerah pertama di Johor yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Selasa.
Susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Taman Negara Endau Rompin telah dibuka dan menempatkan seramai 83 orang daripada 25 keluarga dari Kampung Orang Asli Peta yang dibuka pada jam 6 petang semalam.
Sementara itu, paras air sungai di tiga daerah menunjukkan trend peningkatan susulan hujan lebat yang melanda.
Setakat jam 8 pagi pada Rabu, satu sungai direkodkan melepasi paras bahaya, manakala dua lagi mencatatkan bacaan paras amaran dan waspada.
Berdasarkan sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laporan terkini keadaan banjir di Johor, Sungai Sayong di Kulai melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.15 meter (m).
Sungai Lenik di Segamat pula menunjukkan tahap amaran (5.62m) dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi pada tahap waspada (1.93m).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dijangka melanda Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Johor Bahru sehingga jam 9 pagi, Rabu.
Amaran hujan berterusan pula dikeluarkan bagi daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi sehingga jam 2 petang Rabu.

