Merusuh: Lapan pelajar jalani khidmat masyarakat

20 Nov 2026 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Merusuh: Lapan pelajar jalani khidmat masyarakat

TAWAU: Lapan pelajar Tingkatan Dua terlibat pergaduhan dan merusuh yang videonya tular pada Julai lepas, diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Tawau, pada Khamis.

Kesemua pelajar lelaki berusia 14 tahun itu turut diperintahkan tidak keluar dari daerah Tawau dalam tempoh dua bulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, dengan mengambil kira masa depan kesemua pelajar berkenaan yang masih bersekolah serta rayuan mereka yang sudah insaf terhadap perbuatan tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi anggota satu perhimpunan menyalahi undang-undang untuk menjalankan tujuan bersama iaitu bergaduh dan melakukan rusuhan di kawasan hadapan sebuah sekolah alternatif (swasta) di Jalan Apas pada 10 Julai, sekitar jam 11 pagi.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat berhubung satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular di aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan beberapa pelajar sebuah sekolah menengah dengan seorang lelaki awam menggunakan topi keledar sebagai senjata.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan penyebaran gambar dan video seks yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menggunakan wajah seorang lelaki dengan kekasihnya yang didakwa tular di media sosial.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, kesemua pelajar tersebut mengaku bersalah, namun mahkamah menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, ASP Jeffrey Kadison, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved