Mesej Dakwa Lesen Beras Bernas Ditarik Balik Palsu – KPKM

12 Oct 2023 • 7:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mesej Dakwa Lesen Beras Bernas Ditarik Balik Palsu

PUTRAJAYA — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kerajaan tidak menarik balik atau membatalkan konsesi beras Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).

Perkara itu susulan mesej tular dalam aplikasi permesejan, WhatApp yang mendakwa lesen beras BERNAS telah ditarik balik.

Maklum KPKM, lesen konsesi beras BERNAS telah dipersetujui bersama Kementerian itu selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

“Konsesi ini turut melibatkan 10 obligasi sosial BERNAS termasuklah menyediakan stok penimbal beras negara.

“Manakala, berkenaan tuduhan bahawa penguatkuasaan tidak dijalankan, adalah ditegaskan bahawa Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) sedang berjalan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan diketuai oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Tambah KPKPM, sehingga kini, terdapat dua kilang telah disita dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Berhubung mesej tular tersebut, KPKM memaklumkan satu aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat bagi siasatan terperinci.

“Pihak Kementerian menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan menyeru agar perbuatan menyebarkan mesej palsu ini dihentikan,” kata kementerian itu dalam kenyataan tersebut.

Kilang Beras Disyaki Sorok 180 Tan Metrik Beras Disita

Sebelum ini, sebuah kilang beras di Kedah disita selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik, lapor Bernama.

Menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan, makanan ruji itu dianggarkan bernilai RM405,000.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

“Buat masa ini lokasi dan nama syarikat kilang itu tidak boleh didedahkan, supaya tidak mengganggu kes yang masih dalam siasatan…ini merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT.

“Cuma saya dimaklumkan, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melakukan operasi seperti biasa setiap masa. Pada hari Sabtu yang lalu KPB juga ada melakukan operasi dan menyita beras di sebuah kilang di sini,” jelasnya kepada pemberita.