Mesin Pelayan Storan Kritikal Synology PAS7700 Kini Mula Ditawarkan Di Pasaran Malaysia

LocalTechnology
25 May 2026 • 1:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada pertengahan tahun lepas, kami telah melaporkan tentang salah satu produk storan terbesar yang dikeluarkan oleh Synology, iaitu Synology PAS7700.

Solusi storan ini menggunakan storan SSD NVMe sepenuhnya, dan hadir dengan sokongan untuk 48 storan SSD dalam rekaan rak storan bersaiz 4U, menyokong jumlah storan sehingga 1.65 Petabyte dan boleh digabungkan dengan tujuh unit pengembangan lain.

Dalam pada itu, jumlah memori solusi storan SSD ini boleh dinaiktaraf sehingga 2TB dan juga boleh menyokong rangkaian 100GbE. Dengan gabungan semua ciri-ciri ini, Synology mengatakan bahawa storan ini hadir dengan kadar celus (throughput) 30GB/s dan daya pemprosesan I/O 2 juta IOPS.

Image from: Mesin Pelayan Storan Kritikal Synology PAS7700 Kini Mula Ditawarkan Di Pasaran Malaysia

Dari segi keselamatan, diantara sokongan yang diperlihatkan pada pelayan storan PAS7700 ini ialah sokongan untuk ciri immutable screenshot dan sistem fail WORM (Write Once, Read Many) yang memastikan bahawa kandungan dalam mesin pelayan ini tidak boleh ditukar dan diubahsuai sewenang-wenangnya.

Storan enterprise Synology PAS7700 dibina untuk organisasi yang mana prestasi storan memberi impak secara langsung kepada produktiviti dan kesinambungan perniagaan, seperti reka bentuk semikonduktor, kesihatan, pembangunan permainan, kejuruteraan dan pembuatan. Industri-industri ini bergantung kepada prestasi yang konsisten dan ketersediaan perkhidmatan yang berterusan kerana berbilang pengguna bekerja dengan fail besar, pembinaan semula yang kerap, mesin maya, pangkalan data dan sistem kritikal perniagaan pada masa yang sama.

Synology di Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa kelengkapan storan enterprise PAS7700 sudah mula ditawarkan di pasaran Malaysia, dan syarikat-syarikat yang berminat untuk membelinya boleh mengisi borang pertanyaan di laman web Synology Malaysia. Kami juga diberitahu bahawa harga untuk storan PAS7700 ini adalah bergantung kepada konfigurasi storan yang dipilih, dan oleh kerana itu, ia lebih sesuai dijawab oleh seorang jurujual daripada Synology sendiri.

View Original Article