GEORGE TOWN – Sebuah mesin tekanan darah rosak menyebabkan kira-kira 200 mililiter merkuri tumpah di Pusat Dialisis Buddhist Tzu Chi, pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, tumpahan berlaku di bilik utiliti di tingkat tiga premis berkenaan yang merupakan lokasi penyimpanan peralatan dan berasingan daripada kawasan rawatan pesakit.
Menurutnya, ketika kejadian, hanya dua kakitangan dialisis berada di lokasi dan kedua-duanya dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama bantuan BBP Bayan Baru dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.56 pagi, kira-kira enam minit selepas panggilan diterima dengan jarak perjalanan kira-kira empat kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, maklumat awal mendapati mesin berkenaan sedang dalam proses pelupusan sebelum berlaku kerosakan yang mengakibatkan tumpahan merkuri.
"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) kemudiannya digerakkan bagi mengendalikan bahan berbahaya tersebut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
"Anggota yang terlibat diarahkan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan kerja-kerja mengawal pencemaran.
“Tumpahan merkuri dikawal menggunakan serbuk sulfur sebelum dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam beg sisa kimia bersama peralatan lain yang tidak selamat digunakan,” katanya.
Menurutnya, kerja pembersihan turut dilakukan menggunakan cecair peluntur bagi memastikan kawasan benar-benar bebas daripada sisa berbahaya.
"Pasukan turut menjalankan pemeriksaan bacaan pH bagi memastikan tahap keselamatan berada dalam keadaan terkawal.
“Pemantauan lanjut dilakukan di lokasi bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya.
John berkata, operasi tersebut berjaya dikawal pada jam 10.30 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.49 pagi.
"Kawasan rawatan pesakit di tingkat empat dan lima tidak terjejas sepanjang insiden berkenaan.
"Seramai 15 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan tiga jentera iaitu satu Fire Rescue Tender (FRT), satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan satu jentera Hazmat. Tiada agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam mengendalikan peralatan yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri terutama ketika proses pelupusan.
