Perkhidmatan pemesejan Meta Messenger kini lebih selamat digunakan selepas ciri penyulitan hujung-ke-hujung (E2EE) diaktifkan secara lalai hari ini. Ciri ini telah lama diminta dan perancangan menyokongnya diumumkan Ogos lalu. Ia akan menyulitkan mesej teks peribadi yang dihantar tetapi juga panggilan suara yang dilakukan menerusinya. Sebelum ini E2EE perlu diaktifkan sendiri oleh pengguna tetapi ramai tidak menyedari ianya wujud.

Selain itu pengguna juga boleh menyunting mesej yang dihantar. Suntingan hanya boleh dilakukan dalam tempoh 15 minit selepas mesej dihantar. Mesej yang disunting akan mempunyai label “edited” supaya penerima tahu ia sudah berubah daripada asal.

Mesej yang dipadam selepas 24 jam juga boleh dihantar. Ciri ini hanya boleh digunakan oleh mereka yang mengaktifkan ciri E2EE. Pada mesej yang akan terpadam sendiri ini, label masa yang tinggal sebelum ia dipadam akan dipaparkan di bahagian bawah.
Penghantaran imej dan video HD juga kini sedang diuji sebilangan kecil pengguna sebelum akan diberikan kepada lebih banyak lagi secara berperingkat. Akhir sekali mesej dalam bentuk audio kini boleh dimainkan pada kelajuan 1.5x dan 2X.
- Sumber
- Meta
