Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 1 Tahun 2025

LocalPolitics
26 Feb 2025 • 12:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 1 Tahun 2025

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI 2025 – YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bil. 1 Tahun 2025 pada hari ini. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memantau dan meningkatkan kualiti air sungai di seluruh negara melalui strategi dan langkah

langkah pengurusan bersepadu. Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk melindungi sumber air yang amat bernilai demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

JKKAS merupakan komitmen kerajaan dalam mengawal pencemaran alam sekitar dan memastikan pelaksanaan strategi peningkatan kualiti air sungai dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan. JKKAS turut menjadi platform strategik untuk perkongsian maklumat, amalan terbaik dan penyelesaian inovatif dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai.

Kerajaan-Kerajaan Negeri telah membentangkan perancangan dan tindakan di peringkat negeri masing-masing dalam memastikan pelaksanaan strategi peningkatan kualiti air sungai dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan bagi generasi akan datang.

Dalam siding media selepas Mesyuarat berkenaan, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, memaklumkan bahawa JKKAS telah bersetuju supaya Kerajaan Negeri menetapkan pelaksanaan aktiviti menyahenap cemar tangki septik individu secara berkala, khususnya bagi premis kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri, bagi mengurangkan beban pencemaran sungai.

Beliau berkata, JKKAS juga telah bersetuju untuk melaksana pendekatan Pengurusan Sumber Air Secara Bersepadu (IWRM) yang sejajar dengan Pelan Tindakan AIR2040. Ini bagi memperkasa agensi agensi sedia ada dalam menangani pencemaran air kumbahan dan punca tidak tetap (NPS) di kawasan empangan, kolam dan tasik D.

JKKAS turut menyokong cadangan penangguhan caj air kembalian bulanan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri terhadap Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di bawah peraturan Dasar Pelepasan Sifar (DPS), sehingga perancangan projek air pulih guna dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam usaha menangani pencemaran Sungai, YAB Menteri PETRA memberitahu, JKKAS telah menggalakkan penggunaan kaedah inovatif iaitu sistem NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS). Sistem NEDS mengurangkan endapan tercemar tanpa memberi impak besar terhadap ekosistem akuatik, menggalakkan produk tempatan, menjana keuntungan dan menjimatkan kos berbanding penggunaan alat-alat konvensional.

Program Denai Kebangsaan (DSK) juga akan diperkasakan melalui penglibatan Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan yang memberi nilai tambah dari segi pembangunan fizikal dan infrastruktur.