Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 2 Tahun 2024

5 Aug 2024 • 11:00 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 2 Tahun 2024

CYBERJAYA, 1 OGOS 2024 – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 2 Tahun 2024 telah diadakan pada hari ini di Cyberview Resort and Spa, Cyberjaya.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Turut hadir YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selaku Timbalan Pengerusi JKKAS.

Jawatankuasa Khas ini berperanan penting dalam memastikan langkah langkah dan tindakan-tindakan pengurusan pelaksanaan strategi bagi meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu.

Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai platform perkongsian maklumat dan amalan terbaik dengan usaha-usaha yang boleh meningkatkan kualiti air sungai.

Kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti air sungai dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Mesyuarat bersetuju dengan strategi-strategi pengawalan kualiti air sungai merangkumi aspek perundangan, tadbir urus dan aplikasi teknologi melalui tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

JKKAS juga telah bersetuju PETRA melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) akan menerajui Jawatankuasa Kerja Bahan Cemar Baharu.

image is not available

Jawatankuasa ini akan membangunkan polisi serta mengukuhkan tadbir urus berkaitan bahan cemar baharu dalam sumber air di Malaysia dan melibatkan agensi di peringkat Persekutuan serta badan-badan kawal selia air Negeri.

NAHRIM juga akan menjadi peneraju, pelaksana dan hub penyelidikan bahan cemar baharu dengan kerjasama semua pemegang taruh.

Selain itu, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) turut merancang menaiktaraf loji rawatan kumbahan (LRK) awam yang tidak menepati rekabentuk seperti dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan LRK awam yang terletak di kawasan sensitif alam sekitar.

image is not available

Tindakan ini berupaya mengurangkan beban pencemaran sungai akibat dari pelepasan efluen. Kerja-kerja naik taraf ini telah dan sedang dilaksanakan secara berfasa berjumlah 2,932 LRK sedia ada.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut berkongsi mengenai inisiatif mengawal kualiti air sungai. Manakala, Kerajaan Negeri Selangor pula telah berkongsi berkenaan amalan terbaik pengurusan sumber air bersepadu dalam mesyuarat ini.

Mesyuarat JKKAS turut dihadiri oleh Menteri Besar, Exco-Exco berkaitan air, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan/Agensi yang berkaitan, serta Badan-badan Kawal Selia Air Negeri. PETRA dan NRES telah bertindak sebagai urus setia bersama bagi mesyuarat ini.