Mesyuarat MKT Tidak Bincang Bubar Parlimen, Pemimpin UMNO Kunci Mulut

Politics
28 Aug 2022 • 12:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Beberapa pemimpin yang ditemui mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai inti pati dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berakhir kira-kira jam 11.15 malam tadi - Gambar Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berakhir kira-kira jam 11.15 malam tadi tanpa membincangkan mengenai pembubaran Parlimen.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut.

“Kita tak bincang (tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), itu hak Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.

image is not available
Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, topik pembubaran parlimen tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tadi - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Menurut beliau, mesyuarat itu hanya membincangkan mengenai solidariti pemimpin bagi memperkukuh parti dalam menghadapi PRU-15.

“Benda tak penting kita tak bincang, kita bincang perkara untuk memperkukuh parti, parti kuat calon kita menang,” katanya.

Katanya, turut dibincangkan adalah mengenai langkah untuk menstabilkan ekonomi dan negara. 

image is not available
Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata mesyuarat itu hanya membincangkan mengenai solidariti pemimpin bagi memperkukuh parti dalam menghadapi PRU-15 - Gambar Twitter Ahmad Maslan

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bermula pada jam 8.30 malam itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti.

Petang tadi, kira-kira 3,000 perwakilan UMNO hadir pada Taklimat Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, WTC.

Ahmad Zahid ketika berucap berkata, Perdana Menteri perlu membubarkan segera Parlimen kerana semua pihak termasuk MKT telah sebulat suara bersetuju untuk pembubaran itu.

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri perlu membubarkan segera Parlimen kerana semua pihak termasuk MKT telah sebulat suara bersetuju untuk pembubaran itu

“Desakan ini bukan datang dari saya, bukan dari Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) atau pemimpin lain, tetapi ia adalah keputusan sebulat suara dari semua peringkat.

“Keputusan sebulat suara sudah dicapai, jadi apa yang kita nak tunggu lagi?” katanya. 

Beberapa pemimpin yang ditemui turut mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai inti pati dalam mesyuarat itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pula sekadar menyebut perkataan ‘solidariti’ sebelum berlalu pergi.- Getaran, 28 Ogos 2022