
KUALA LUMPUR - Mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban hari ini hanya memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu bukanlah mesyuarat khas seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menurut Ahli Parlimen Rasah itu, mesyuarat berkenaan merupakan pertemuan biasa yang diadakan, susulan perkembangan terkini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.
“Ia adalah mesyuarat biasa, bukannya mesyuarat khas. Ia dianggap sebagai mesyuarat tergempar kerana notis diberikan dalam tempoh singkat selepas pembubaran DUN Johor petang semalam.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni dan semangat kekeluargaan PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bersama pimpinan parti dilihat tiba di kediaman rasmi Menteri Besar seawal jam 9.30 pagi, mencetuskan spekulasi bahawa satu mesyuarat khas berhubung pembubaran DUN Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan, tiada sidang media akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa Aminuddin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Rabu.
Perkembangan itu terus menjadi perhatian susulan spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada PRN yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat. - Getaran, 2 Jun 2026






