Mesyuarat YBM KPKM Bersama EXCO-EXCO Pertanian Negeri Tahun 2024

LocalPolitics
25 Oct 2024 • 4:57 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Mesyuarat YBM KPKM Bersama EXCO-EXCO Pertanian Negeri Tahun 2024

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER 2024 – YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu telah mempengerusikan Mesyuarat YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan EXCO-EXCO Pertanian Negeri Tahun 2024 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 22 Oktober 2024 (Selasa). Mesyuarat kali ini telah meneliti dan membincangkan sebanyak tiga (3) pembentangan, iaitu satu (1) kertas pertimbangan dan dua (2) kertas makluman.

Kertas pertimbangan yang dibentangkan adalah mengenai Cadangan Transformasi Ladang Ayam Terbuka kepada Ladang Ayam Tertutup. Cadangan transformasi ini adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs) dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan kemampanan industri ternakan ayam.

Mesyuarat bersetuju bahawa transformasi kaedah terbuka kepada sistem ladang ayam tertutup dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kesan alam sekitar. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemain industri penternakan ayam adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan transformasi industri ini agar matlamat Kadar Sara Diri (SSR) ayam dan telur seperti yang digariskan di dalam DAN 2.0 dapat dicapai.

image is not available

Mesyuarat pada hari ini turut mengambil maklum akan Indeks Penarafan Bintang (STAR Rating) pesawah menerusi pelaksanaan secara berperingkat ke seluruh negara. Program STAR-Rating ini diwujudkan untuk membantu dalam perancangan dan pemantauan prestasi pesawah dan aktiviti penanaman padi di sesebuah kawasan sebagai salah satu usaha transformasi industri padi dan beras negara. Melalui program ini, para pesawah akan didaftarkan dan dikelaskan mengikut status, kapasiti, produktiviti dan daya maju.

Seterusnya, mesyuarat mengambil maklum akan Status Pelaksanaan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024: Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri. Kerajaan melalui Bajet 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi Pelaksanaan Program Pembangunan bersama kerajaan negeri. Ini melibatkan program, usaha pembaikan dan naiktaraf serta pelaksanaan aktiviti pertanian di atas tanah yang melibatkan bidang kuasa bersama antara kerajaan negeri dan KPKM.

Sehingga September 2024, KPKM telah meluluskan sebanyak 83 projek di negeri-negeri berkaitan aktiviti pertanian, ternakan, perikanan, agro-pelancongan, pembangunan kapasiti petani, peladang, nelayan dan penternak. Mesyuarat turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri bagi memastikan projek-projek tersebut dapat disempurnakan menjelang penghujung tahun ini.

image is not available

Mesyuarat ini merupakan platform bagi usaha kolaboratif Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian negara. Melalui inisiatif ini, produktiviti akan ditingkatkan, sistem sokongan dan perkhidmatan akan diperhebat, sumber diurus secara mampan, serta pelaburan dan penglibatan sektor swasta akan terus digalakkan. Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh dan merealisasikan agenda keterjaminan bekalan makanan negara, memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat selari dengan agenda Malaysia MADANI.

Mesyuarat turut dihadiri YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri KPKM; YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM; YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM; EXCO-EXCO Pertanian daripada 13 Negeri; wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri; wakil Kementerian Kewangan dan wakil Kementerian Ekonomi serta Pegawai- Pegawai Kanan KPKM dan Jabatan/Agensi di bawah KPKM.