Hari ini Facebook mengumumkan mereka mempunyai 2 bilion pengguna aktif harian yang merupakan jumlah pengguna tertinggi dalam sejarah syarikat. Dalam pengumuman sama Facebook lakukan, beberapa kemaskini untuk aplikasi turut diberitahu.
Pertama sekali adalah mengenai aplikasi Facebook kembali menyokong pemesejan Messenger terus dalam aplikasi. Ciri ini sedia disokong sehingga dihentikan pada tahun 2014, memaksa pengguna memuat turun aplikasi Messenger.

Tahun lepas, ada kami laporkan yang aplikasi Facebook akan menyerupai TikTok dan mengembalikan pemesejan dari dalam aplikasi. Suapan berita di Facebook kuini telah pun mengikut kecerdasan buatan seakan TikTok, bermakna langkah seterusnya adalah untuk sokongan pemesejan pula.
Perubahan ini mungkin akan dipercepatkan kerana penggunaan pemesejan yang didakwa mencapai 140 bilion mesej sehari pada aplikasi-aplikasi Meta. Reels dikongsi ke DM Instagram sebanyak 1 bilion kali sehari, dan di Facebook Groups ahli komuniti mula aktif menggunakan ciri pemesejan.

Dengan ramai orang menggunakan pemesejan, masuk akal untuk Meta fokus pada satu aplikasi sahaja kerana itulah jalan yang lebih efisien dan memudahkan. Tetapi kemaskini aplikasi untuk menyokong ciri ini mungkin mengambil masa lebih lama kerana ingin memastikan sekuriti dan privasi terjamin, lebih-lebih lagi Messenger yang sedia menyokong pemesejan penyulitan penuh.

