
KUALA LUMPUR - Juri mahkamah negeri New Mexico semalam memutuskan Meta bertanggungjawab atas hampir AS$400 juta ganti rugi sivil selepas perbicaraan, susulan dakwaan oleh peguam negara bahawq pengendali Facebook dan Instagram itu gagal melindungi kanak-kanak yang menggunakan aplikasinya daripada pemangsa.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan yang mengambil masa sekitar sehari, susulan perbicaraan selama enam minggu.
New Mexico mendakwa, Meta yang menaungi Facebook dan Instagram gagal melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan seksual, permintaan dalam talian dan pemerdagangan manusia.
Negeri itu telah menuntut ganti rugi maksimum AS$2.2 bilion, tetapi juri memberikan jumlah yang lebih rendah iaitu AS$375 juta.
Meta menafikan dakwaan negeri New Mexico dan berkata, syarikat berkenaan ‘memfokus kepada komitmen jangka panjang untuk menyokong golongan muda’.
Kes dibicarakan di mahkamah Santa Fe itu adalah antara yang pertama menghasilkan keputusan juri, dalam hal melibatkan platform media sosial dan keselamatan kanak-kanak.
Keputusan terbabit dibuat selepas mendengar keterangan daripada 40 saksi, termasuk pekerja yang bertukar menjadi pemberi maklumat, dan menyemak beratus-ratus dokumen, laporan dan e-mel.
Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez, memfailkan saman pada tahun 2023 terhadap Meta dan an Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg, mendakwa syarikat itu gagal melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian.
Semasa hujah penutup, pendakwa raya Linda Singer memberitahu juri bahawa algoritma Meta telah mengarahkan orang dewasa ke arah kandungan yang disiarkan oleh pengguna remaja manakala syarikat itu menyembunyikan penemuan dalaman tentang risiko kepada golongan muda.
Juri mendapati Meta melanggar Akta Amalan Tidak Adil negeri dengan mengelirukan pengguna tentang keselamatan produknya untuk kanak-kanak.
Perbicaraan persekutuan berasingan di Daerah Utara California akan bermula lewat tahun ini.
Beberapa daerah sekolah dan ibu bapa di seluruh negara mendakwa bahawa tindakan dan aplikasi Meta, YouTube, TikTok dan Snap menyebabkan kemudaratan negatif berkaitan kesihatan mental kepada remaja dan kanak-kanak. – Getaran, 25 Mac 2026

