Kerajaan Indonesia telah memanggil pihak Meta dan Google kerana didakwa tidak mematuhi peraturan kawalan media sosial untuk kanak-kanak. Tindakan ini diambil susulan kebimbangan terhadap kandungan yang boleh memberi kesan negatif kepada pengguna muda, khususnya selepas pelaksanaan Peraturan Pemerintah (PP) Tunas yang berkuat kuasa pada 28 Mac 2026. Peraturan tersebut menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pengguna platform digital berisiko tinggi.

Pihak berkuasa Indonesia menegaskan bahawa penyedia media sosial mesti mematuhi undang-undang tempatan demi melindungi keselamatan kanak-kanak di platform digital. Bagaimanapun, Meta dan Google didapati gagal melaksanakan sekatan umur secara menyeluruh di platform masing-masing termasuk Facebook, Instagram, Threads dan YouTube. Susulan itu, kedua-dua syarikat telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan lanjut berhubung ketidakpatuhan tersebut.

Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh membawa kepada tindakan lebih tegas, termasuk sekatan atau penyekatan akses platform di Indonesia. Malah, pihak kementerian menyatakan bahawa Meta dan Google sejak awal menunjukkan penentangan terhadap dasar ini. Setakat ini, kedua-dua penyedia terbabit masih belum memberikan maklum balas rasmi meskipun sebelum ini mereka mendakwa telah memperkenalkan langkah perlindungan untuk pengguna muda.

Selain Meta dan Google, platform lain seperti TikTok dan Roblox turut dikenal pasti sebagai berisiko tinggi. Kedua-duanya telah menerima surat amaran dan diminta meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan baharu. Menariknya, hanya dua platform iaitu X dan Bigo setakat ini didapati mematuhi sepenuhnya dengan melaksanakan sekatan akses terhadap pengguna bawah umur di Indonesia.
