
WASHINGTON: Gergasi teknologi Meta diperintahkan untuk membayar sejumlah AS$567 juta (RM2.32 bilion) ke dalam dana pemulihan di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Ia adalah susulan keputusan mahkamah yang mendapati platform media sosialnya mencetuskan gangguan awam dan krisis kesihatan mental dalam kalangan belia.
Hukuman kewangan baharu ini dikenakan susulan penalti sivil sebanyak AS$375 juta (RM1.53 bilion) yang terpaksa dibayar oleh Meta awal tahun ini selepas didapati melanggar Akta Amalan Tidak Adil New Mexico.
Meta diasaskan oleh taikun teknologi, Mark Zuckerberg.
Perbicaraan fasa kedua yang bermula pada Mei lalu bertujuan menentukan sama ada tindakan syarikat itu mewujudkan gangguan awam yang mewajarkan perubahan terhadap produknya.
Hakim Bryan Biedscheid dalam penghakimannya menyatakan bahawa walaupun Meta bukan satu-satunya pihak yang terlibat, platform media sosial milik syarikat berkenaan terbukti menjadi faktor penyumbang utama kepada krisis kesihatan mental belia di New Mexico berdasarkan bukti kukuh yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Daripada jumlah dana tersebut, sebanyak AS$420 juta (RM1.71 billion) akan diperuntukkan khas bagi rawatan individu yang terjejas disebabkan platform berkenaan.
Baki selebihnya akan digunakan untuk program kesedaran, pencegahan, penilaian, saringan dan pembaikan kualiti perkhidmatan sokongan.
Pada 1990-an, syarikat tembakau dipaksa membayar berbilion dolar kerana mengelirukan orang awam berhubung bahaya produk mereka sehingga menjejaskan pengaruh industri tersebut secara mendadak.
Meta dalam pemfailan kewangan suku pertamanya mengesahkan bahawa Peguam Negeri New Mexico mencadangkan hukuman penalti keseluruhan sehingga AS$62.85 billion (RM257.1 billion) bagi kes berkenaan. – AGENSI
The post Meta diasaskan Zuckerberg diperintah bayar RM2 bilion kepada negeri AS appeared first on Utusan Malaysia.

