
Proses pembuangan pekerja dilakukan beberapa syarikat teknologi utama sejak tahun lalu menggunakan alasan kecerdasan buatan (AI) boleh menggantikan pekerja manusia. Meta pula kini akan membuang 8000 pekerja pada 20 Mei menurut laporan Reuters.
Menurut sumber dalaman, ini hanya gelombang pertama pembuangan pekerja yang akan dilakukan Meta tahun ini. Pada H2 2026, mereka akan membuang lebih banyak pekerja dengan sasaran membuang sehingga 20% tenaga kerja global sepanjang 2026.

Awal tahun ini Meta telah dijangka membuang pekerja yang terlibat dengan dunia metamesta dan set kepala realiti gabungan. Walaupun nama syarikat diubah menjadi Meta pada tahun 2021, AI kini menjadi tumpuan utama syarikat dan bukan lagi metamesta. Studio pembangunan permainan XR telah ditutup dengan Meta juga mengumumkan akses Horizon Worlds menggunakan Quest akan dihentikan. Rancangan ini kemudian dibatalkan selepas menerima reaksi negatif pemain.
Berpuluh bilion akan dibelanjakan oleh Meta bagi membina model AI terkini mereka supaya mampu bersaing dengan Google, Anthropic, dan OpenAI. Tetapi usaha Meta sedikit tergendala selepas model baharu gagal mencapai sasaran dan kehilangan ketua penyelidik Yann Le Cun yang meletakkan jawatan bagi menubuhkan syarikat sendiri tahun ini.





