Meta Horizon Worlds Kini Tidak Memberikan Tumpuan Kepada Dunia VR

TechnologyGaming
20 Feb 2026 • 7:49 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Meta Horizon Worlds dilancarkan lima tahun lalu sebagai dunia metamesta yang perlu diselami menggunakan set kepala Meta Quest. Impian Mark Zuckerberg ialah merealisasikan dunia Ready Player One ke dunia sebenar dengan Horizon Worlds menjadi portal kepada dunia-dunia maya berbeza seperti planet di dalam filem arahan Steven Spielberg ini.

image is not available

Tetapi metamesta kini bukan lagi tumpuan Meta dengan pelaburan kini diberikan kepada pembangunan kecerdasan am buatan (AGI) menerusi Meta Superintelligence Labs. Pagi ini Meta mengumumkan Horizon Worlds akan dipisahkan daripada Reality Lab. Ini bermakna tumpuan tidak lagi diberikan kepada dunia realiti maya (VR) dan sebaliknya Horizon Worlds kini menjadi aplikasi telefon pintar biasa. Horizon Worlds telah ditawarkan pada telefon pintar Android sejak 2023 untuk mereka yang tidak memiliki Meta Quest.

Ini satu lagi petanda masa depan dunia metamesta di Meta semakin kabur dengan ia beralih menjadi platform permainan video biasa. Tiga permainan yang popular pada waktu ini ialah Grow A Garden, Steal A Brainrot, dan Yeet Yourself.

Walaupun Horizon Worlds telah dipisahkan daripada dunia VR, Meta mengatakan mereka masih komite menyokong pembangun aplikasi pihak ketiga untuk Meta Quest. Mereka turut masih akan mengeluarkan perkakasan baharu di masa hadapan.

Kenyataan yang diberikan kurang meyakinkan kerana Meta menutup beberapa studio pembangunan aplikasi Meta Quest milik dengan saiz pasukan metamesta mereka telah dikecilkan secara mendadak beberapa bulan lalu.

View Original Article