Meta Ingin Membolehkan Pengguna Eropah Muat-Turun Aplikasi Terus Melalui Iklan Facebook

TechnologyDigital
30 Jun 2023 • 6:51 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada hari ini, pelbagai muat-turun aplikasi dilakukan melalui kedai aplikasi Google Play Store atau Apple AppStore. Namun, dengan langkah perundangan Kesatuan Eropah yang ingin membenarkan pengguna memuat-turun aplikasi dari penyedia lain atau pihak ketiga, kini Meta melihat kepada peluang baharu.

Melalui laporan awal, Meta dikatakan ingin membolehkan para pengguna untuk boleh muat-turun aplikasi terus melalui iklan Facebook. Ini bermakna, pengguna akan terus muat-turun aplikasi apabila klik pada mana-mana iklan berkaitan di Facebook – sekaligus mempercepatkan proses memasang sesuatu aplikasi pada peranti pengguna.

image is not available

Meta dijangka akan bereksperimen dengan iklan bentuk baharu ini secara terhad dengan sejumlah pembangun aplikasi Android terpilih pada tahun ini. Meta menjanjikan kadar pemasangan yang lebih tinggi berbanding pautan yang perlu diklik sebelum boleh memuat-turunnya.

Selain Meta, beberapa pihak lain turut sedang melihat kepada penawaran alternatif masing-masing dalam arena kedai aplikasi ini selari perundangan baharu Kesatuan Eropah yang ingin memecah monopoli kedai aplikasi oleh platform penyedia.