Meta memperkenalkan ciri anti-scam baharu untuk melindungi pengguna. Di WhatsApp, amaran akan muncul sekiranya pengguna cuba berkongsi skrin dengan kenalan tidak dikenali semasa panggilan video. Langkah ini membantu mencegah penipuan yang mungkin melibatkan cubaan mendapatkan maklumat sensitif seperti kod pengesahan.

Seterusnya dalam Messenger, sistem pengesanan penipuan yang lebih canggih sedang diuji. Apabila diaktifkan, pengguna akan diberi amaran jika menerima mesej mencurigakan daripada kenalan baharu, serta pilihan untuk hantar mesej itu bagi semakan AI. Jika scam dikesan, pengguna akan terima info lanjut dan cadangan seperti menyekat atau melaporkan akaun tersebut.

Di Facebook, Messenger dan WhatsApp, pengguna boleh menetapkan Passkeys untuk log masuk dengan lebih selamat menggunakan cap jari, pengecaman wajah atau PIN dari peranti mudah alih.
Di Facebook dan Instagram, ciri Security Checkup boleh bantu menyemak tetapan keselamatan dan memberi cadangan seperti menukar kata laluan.
Manakala di WhatsApp, Privacy Checkup memudahkan pengguna mengurus tetapan privasi seperti siapa yang boleh menambah mereka ke dalam Kumpulan.

Meta turut berkongsi tips keselamatan untuk membantu warga emas untuk mengelakkan penipuan. Sejak awal tahun ini, hampir 8 juta akaun di Facebook dan Instagram yang dikaitkan dengan pusat penipuan telah dikesan serta disekat. Meta juga bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengukuhkan usaha membanteras penipuan yang menyasarkan golongan ini.


