Meta ramal raih RM67 bilion hasil iklan penipuan: MCMC mulakan siasatan, panggil beri penjelasan

LocalPolitics
8 Nov 2025 • 1:47 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan siasatan berhubung laporan bahawa syarikat Meta meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram.

Sambil memandang serius laporan agensi berita Reuters itu, MCMC dalam kenyataannya berkata, ia berkongsi kebimbangan yang disuarakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan akan memanggil Meta bagi memberikan penjelasan rasmi berhubung ketepatan pendedahan tersebut.

“Pada masa sama, MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara berkenaan.

“Sekiranya terbukti benar, ini dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara,’’ katanya.

Pada Jumaat, laporan Reuters mendedahkan Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, meramalkan 10% daripada pendapatan keseluruhannya pada 2024, iaitu kira-kira US$16 bilion, berasal daripada iklan penipuan dan barangan yang dilarang.

Menurut laporan berkenaan, sebilangan dokumen dalaman Meta yang belum pernah dilaporkan menunjukkan gergasi media sosial itu gagal mengenal pasti dan menghentikan iklan yang mendedahkan berbilion pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp kepada skim e-dagang dan pelaburan tipu, judi dalam talian haram, serta penjualan produk perubatan terlarang.

Secara purata, satu dokumen bertarikh Disember 2024 menyatakan, syarikat itu menyalurkan sekitar 15 bilion iklan 'berisiko lebih tinggi' yang menunjukkan tanda-tanda jelas penipuan kepada pengguna platformnya.

Sementara itu, MCMC memberitahu, sebelum laporan itu diterbitkan, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama, termasuk Meta, berhubung isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

Dalam sesi tersebut, MCMC berkata, ia menekankan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan amat tinggi yang perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC telah mengemukakan kepada Meta sebanyak 157,208 permintaan untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

"Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding platform lain.

“Dalam tempoh yang sama, permintaan penurunan iklan perjudian dalam talian dikemukakan kepada TikTok (3,956), Telegram (269), X (dahulunya Twitter) (11), dan YouTube (45,448),’’ katanya.

MCMC juga memberitahu, Meta telah dinasihatkan sebelum ini agar mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan serta perjudian dalam talian, memandangkan langkah sedia ada masih belum mencukupi dan aktiviti sebegini terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Justeru bagi memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, MCMC menegaskan semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah dan bertanggungjawab membuktikan sistem serta langkah-langkah untuk mencegah aktiviti haram.

Platform-platform berkenaan juga, katanya, disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Sekiranya terdapat bukti mana-mana platform sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara,’’ katanya. - 8 November, 2025

.

The post Meta ramal raih RM67 bilion hasil iklan penipuan: MCMC mulakan siasatan, panggil beri penjelasan appeared first on Scoop.