
MetMalaysia Keluar Nasihat Lekukan Tropika
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan jangkaan pembentukan lekukan tropika (tropica depression) di Laut China Selatan hari ini. Jangkaan ini berdasarkan pengesanan pembentukan sistem tekanan rendah di perairan Sarawak petang semalam.
“Model-model cuaca menunjukkan intensiti sistem ini berpotensi meningkat menjadi lekukan tropika dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang. Sistem ini dijangka akan bergerak ke utara menuju ke tengah Laut China Selatan.
“Pada masa yang sama, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember 2024. Keadaan ini boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Sarawak, WP Labuan, Sabah serta perairan Laut China Selatan,” maklum MetMalaysia.
Apa itu lekukan tropika?
Sebagai pengetahuan, lekukan tropika adalah sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum berterusan. Kelajuan boleh mencapai 61 kilometer sejam atau kurang daripada itu.
Lekukan tropika tidak sekuat ribut tropika atau taufan namun turut berisiko membawa sejumlah besar hujan, ribut petir dan banjir.
Fenomena ini berlaku ketika ribut petir semakin tinggi dan menjadi lebih besar, dengan udara menyejuk di bahagian atas lajur awan. Ini menyebabkan udara menjadi tidak stabil. Udara akan menjadi semakin panas apabila tenaga haba dibebaskan daripada wap air. Lalu mengakibatkan tekanan udara di situ menjadi lebih tinggi dan angin bergerak keluar dari kawasan tersebut.
Tekanan mula menurun apabila berlaku pergerakan udara dan pemanasan. Udara di permukaan kemudian bergerak ke arah kawasan bertekanan rendah lalu naik dan mengakibatkan ribut petir yang lebih banyak. Keadaan ini juga menyebabkan angin yang berada dalam lajur awan ribut berputar lebih cepat dan pantas, mengikut pergerakan membulat.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan tujuh negeri, 1 Wilayah Persekutuan (WP) bakal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 9 malam ini.
Seluruh negeri Pulau Pinang dan WP Kuala Lumpur dijangka hujan lebat malam ini.
Di Kedah, hanya Kulim dan Bandar Baharu dijangka hujan. Manakala di Perak, Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar bakal hujan lebat.
Keadaan cuaca di Selangor menunjukkan hanya Hulu Langat bakal terima hujan lebat dan angin kencang.
Beralih ke pantai timur, Kelantan dijangka menerima hujan lebat meliputi daerah Gua Musang. Di Pahang, kebanyakan kawasan dijangka hujan lebat. Antara daerah yang tersenarai ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
Cuaca di Negeri Sembilan menunjukkan hujan lebat bakal landa daerah Jelebu, Jempol dan Tampin.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan elakkan berada di lokasi berisko demi keselamatan diri.
The post MetMalaysia Keluar Nasihat Lekukan Tropika appeared first on Siakap Keli.
