MetMalaysia keluarkan amaran hujan berterusan hingga Khamis

LocalEnvironment
14 Dec 2025 • 4:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Hujan lebat tahap buruk dijangka di Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan Pahang serta Johor sehingga 18 Disember

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.

Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.

Beliau berkata hujan berterusan tahap waspada pula melibatkan Perak di Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Tahap waspada juga dijangka di Pahang meliputi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera.

Di Johor, amaran tahap waspada melibatkan Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru untuk tempoh sama.

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga Selasa melibatkan beberapa bahagian di Sarawak.

Kawasan terlibat di Sarawak ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia.

Maklumat juga boleh didapati melalui aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MetMalaysia.

Masyarakat juga boleh menghubungi talian MET Malaysia di 1-300-22-1638. – Bernama