MetMalaysia nafi jangkaan cuaca buruk hujung bulan ini

24 Oct 2022 • 7:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan akan berlaku cuaca buruk luar biasa pada penghujung bulan ini seperti yang tular dalam rakaman video di pelbagai platform media sosial serta aplikasi WhatsApp.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di Malaysia sedang dipengaruhi penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga penghujung Oktober yang berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

Beliau berkata pada masa sama, satu sistem tekanan rendah terbentuk di barat Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara yang akan memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.

Katanya amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan hari ini dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh 27 hingga 30 Okt.

Muhammad Helmi berkata MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari semasa ke semasa.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca, melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved