Mew Cho Kesat Air Mata Hiba, Saat Chong Wei Kongsi Perjalanan Hidupnya

9 Mar 2023 • 12:26 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mew Cho Kesat Air Mata Hiba, Saat Chong Wei Kongsi Perjalanan Hidupnya

Pasangan mana yang tidak mahu mempunyai kehidupan bersama yang bahagia sehingga akhir hayat mereka. Sudah menjadi impian setiap pasangan untuk memiliki keluarga yang bahagia di samping anak-anak yang comel.

Begitulah apa yang dikongsikan oleh bekas pemain badminton nombor satu negara Dato’ Lee Chong Wei berkenaan isterinya yang tercinta.

Lee Chong Wei menerusi muat naik video di akaun TikTok miliknya telah menzahirkan penghargaan kepada isterinya yang juga merupakan pemain badminton perseorangan wanita negara.

Apa yang lebih menarik dalam perkongsian video tersebut, dapat dilihat isterinya Wong Mew Choo mengesat air matanya. Mew Choo kelihatan sangat sebak ketika Chong Wei mula bercerita berkenaan detik terindah perjalanannya dalam kerjaya sukan tersebut.

Beberapa kali juga dapat dilihat Mew Choo cuba mengesat air matanya sambil merenung ke arah lantai. Dia juga sempat dilihat mengelap kesan air matanya pada sehelai kain yang diletakkan di atas ribanya.

image is not available
Kredit TikTok DLCW

Berdasarkan kapsyen muat naik tersebut, Chong Wei memaklumkan bahawa video itu telah diambil oleh seseorang secara rahsia dan kemudian menghantar klip itu kepadanya.

“Apabila saya lihat video itu, serta-merta saya remuk dan menangis. Apa lagi yang saya perlukan dalam hidup apabila saya sudah memiliki gadis ini?” tulis kapsyen muat naik video tersebut.

Chong Wei juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada isterinya dan mengatakan bahawa dia merupakan lelaki paling bertuah di dunia.

“Terima kasih isteriku #wongmewchoo. Saya lelaki paling bertuah di dunia ini. Sayang awak sepuluh ribu tahun,” sambung kapsyen muat naik itu.

Di hujung video berdurasi 44 saat itu juga sempat menunjukkan salah seorang anak pasangan itu cuba menenangkan Mew Choo yang sedang sebak. Anak mereka dilihat menepuk lembut lengan Mew Choo bagi menenangkan wanita itu yang kesedihan.

image is not available
Kredit TikTok DLCW

Pasangan itu bersama dua anak mereka dipercayai telah dijemput untuk menghadiri pameran istimewa ‘klon’ patung lilin Lee Chong Wei. Program itu telah diadakan oleh Madame Tussauds Hong Kong di Kuala Lumpur.

Perkongsian video tersebut telah mendapat reaksi pelbagai daripada penonton dan peminat bintang sukan badminton tersebut. Mereka juga turut sempat meninggalkan komen di ruangan komentar video berkenaan.

“Dia sangat sayangkan awak DLCW. Cara dia menangis menunjukkan betapa peritnya perjalanan anda dalam sukan yang anda sangat sayangi. Tuhan memberkati anda dan keluarga.” tulis seorang netizen yang mendoakan kebahagian keluarga tersebut.

“Isteri saksi segalanya, tahniah Dato, isteri awak memang tepat untuk awak,” tulis seorang lagi netizen.

“Semoga anda berdua berbahagia sampai bila-bila,” tulis seorang netizen mendoakan pasangan tersebut.

Selain itu, pengguna media sosial TikTok juga sempat meninggalkan komen yang memuji gelagat anak lelaki pasangan berkenaan.

“Anak yang sensitif dengan emosi ibunya. Semoga keluarga yang indah ini dimurahkan rezeki,” tulis seorang netizen yang gembira melihat reaksi anak pasangan tersebut.

” Lihat anaknya usap-usap dan tenangkan ibunya. Sangat lemah lembut,” tulis seorang lagi yang memuji anak mereka.

Sumber: TikTok