
KUALA LUMPUR - Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim 2026–2027.
Keputusan itu menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, melibatkan 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.
Badan pengelola Liga-M itu bagaimanapun memaklumkan kuota pemain asing kekal pada 15 pemain seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Penambahan lima kuota baharu itu juga khusus untuk pemain berstatus tempatan sahaja dan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat Financial Fair Play (FFP).
MFL dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat apabila masing-masing bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL 2, Kejuaraan Kelab ASEAN serta pertandingan peringkat domestik.
Selain itu, menurut kenyataan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut melihat kepentingan penambahan kuota berkenaan dalam membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, selain memberi ruang kepada pemain daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia yang telah melepasi had umur untuk didaftarkan bersama pasukan utama.
“Dengan penambahan kuota pemain ini, ia turut membantu JDT dan Kuching City FC yang akan mewakili negara di kejohanan kelab AFC untuk bersaing dengan lebih kompetitif, sekali gus meningkatkan mata ranking negara serta memburu kejuaraan di pentas Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MFL memaklumkan meskipun kuota maksimum ditetapkan kepada 38 pemain, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi jumlah tersebut.
“Pendaftaran pemain adalah tertakluk kepada keperluan, kemampuan kewangan kelab serta pematuhan terhadap mekanisme Financial Fair Play (FFP), termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026–2027, manakala jumlah minimum pendaftaran pemain bagi setiap kelab kekal seramai 20 pemain,” kata MFL.
Untuk rekod, jendela pendaftaran pertama pemain bagi Liga-M musim 2026–2027 akan berakhir pada 3 Sept ini. - 21 Ogos, 2026
The post MFL lulus tambahan lima kuota pemain tempatan appeared first on Scoop.
