MFL pertimbang semula hukuman Selangor FC

Football
27 Jun 2024 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SFC dikenakan hukuman penalti RM100,000, dipotong tiga mata dan bermain tanpa penonton pada minggu ke-14 Liga Super menentang JDT di Petaling Jaya.

AHLI Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada Selasa lalu susulan ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim bulan lepas.

Menurut kenyataan pengelola liga itu, pertimbangan semula itu dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara pertimbangan semula yang dibuat iaitu denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.

"Selain itu, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.

"Namun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.

"Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, MFL berkata, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

Dalam pada itu, Selangor FC masih boleh membuat rayuan dalam tempoh tiga hari untuk hukuman yang telah dinyatakan pada Khamis.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah amat murka dengan hukuman MFL tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Caption: Selangor FC mendapat perkhabaran gembira apabila MFL mengurangkan hukuman yang dikenakan. Foto: Selangor FC

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!