MFM, Jiangsu Huali perluas operasi penternakan ayam

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MFM, Jiangsu Huali perluas operasi penternakan ayam

PETALING JAYA: Pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jiangsu Huali Co., Ltd. (Jiangsu Huali) berkaitan perolehan peralatan penternakan ayam bagi inisiatif peluasan operasi.

MoU tersebut ditandatangani melalui anak syarikat MFM dalam segmen integrasi ayam pedagingnya, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026).

Rangka kerja bagi kedua-dua pihak untuk berunding dan memuktamadkan perolehan peralatan untuk DPDC itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Cadangan kerjasama itu meliputi pembekalan peralatan dan penyelesaian teknikal lengkap, latihan serta pemindahan pengetahuan kepada pasukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) DPDC, perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan, selain data serta penyelesaian bagi Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS).

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, ketika Malaysia berusaha mencapai sasaran daging ayam sebanyak 140 peratus menjelang 2030, industri perlu meningkatkan pengeluaran tanpa menjejaskan biosekuriti dan kecekapan operasi.

“Melalui gabungan pengalaman tempatan DPDC dalam penternakan dengan keupayaan Jiangsu Huali dalam bidang digital dan penternakan ternakan, kami berhasrat menyediakan penyelesaian untuk ladang di Malaysia yang boleh disesuaikan dengan keadaan operasi tempatan dan diaplikasikan secara konsisten dalam industri penternakan ayam.

“Dalam jangka panjang, usaha ini dapat menyumbang kepada industri ayam tempatan yang lebih kukuh dan didorong teknologi,” katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Wee Chye bagi pihak DPDC, manakala Jiangsu Huali diwakili Presiden Asia Pasifiknya, Howard Wang, disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama wakil KPKM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

MoU sehingga 31 Ogos 2027 itu berfungsi sebagai garis panduan bagi kerjasama yang dicadangkan, manakala tempoh pelaksanaan, terma komersial dan perjanjian yang mengikat bagi setiap aktiviti akan dirunding dan didokumenkan secara berasingan oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, sempena pemeteraian tersebut, MFM turut mempamerkan model Dindings Tyson Poultry House (DTPH) di MAHA 2026 yang terletak di Pavilion Haiwan Kesayangan dan Ayam (Dewan A).

Wee Chye berkata, DTPH memberikan contoh praktikal bagaimana sistem penternakan rumah tertutup moden boleh dilaksanakan di peringkat ladang.

“Melalui pameran ini, kami berharap dapat menggalakkan penggunaan teknologi secara lebih meluas dalam industri serta menyokong peralihan daripada sistem rumah terbuka konvensional kepada kaedah penternakan berasaskan teknologi.

“Pemodenan seperti ini penting dalam membangunkan industri ayam tempatan yang produktif dan boleh dipercayai,” katanya. – UTUSAN

The post MFM, Jiangsu Huali perluas operasi penternakan ayam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved