
KEDAH, 21 OGOS 2026 – KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. kini memperluaskan rangkaian perkhidmatannya dengan pembukaan Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor di Langgar, Alor Setar.
Majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan pengenalan rasmi Cyclone RT2S dan Cyclone RT5 kepada pasaran Malaysia, selepas kedua-dua model berkenaan diperkenalkan sebelum ini sempena Mforce MotoXperience 2026 pada Mei lalu.
Majlis turut dihadiri barisan pengurusan KW Keat Wei Motor serta wakil Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., termasuk Ketua Pegawai Operasi, Encik Asri Ahmad dan Pengurus Kanan Jualan, Encik Tang Hai Teik.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang melihat lebih dekat kedua-dua model baharu Cyclone selain menyertai sesi pandu uji yang disediakan di lokasi.

Cyclone RT2S
Ditawarkan pada harga RM13,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, Cyclone RT2S merupakan skuter 247cc yang menawarkan gabungan prestasi dan praktikaliti untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak sederhana.
Antara ciri utama termasuk enjin satu silinder 247cc, kuasa maksimum 19.5 kW, tork 24.5 Nm, transmisi automatik CVT, ABS, TCS, meter TFT, TPMS serta kamera papan pemuka hadapan dan belakang.

Cyclone RT5
Sementara itu, Cyclone RT5 ditawarkan pada harga RM16,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Model ini tampil dengan reka bentuk lebih besar serta kelengkapan yang lebih premium.
RT5 menggunakan enjin 246.9cc dengan kuasa 19.5 kW dan tork 24.5 Nm, bersama transmisi CVT, ABS dwi-saluran, TCS, meter TFT, TPMS, kamera hadapan dan belakang serta ciri seperti pengesan titik buta (BSD) dan cermin sisi bermotor.
Kedua-dua model ditawarkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu, tertakluk kepada terma dan syarat waranti.
Dengan pembukaan Mforce Smartshop baharu ini, pengguna di kawasan Alor Setar dan sekitarnya kini mempunyai akses lebih dekat kepada rangkaian produk serta perkhidmatan Mforce, termasuk model-model baharu daripada jenama Cyclone.
The post Mforce buka Smartshop baharu di Kedah dan Lancar 2 model Baharu. appeared first on TW Media.



