MGB Berhad peroleh kontrak RM200.74 juta bina CLQ di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
1 Apr 2026 • 6:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MGB akan menggunakan panel konkrit pratuang IBS untuk projek CLQ.

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah di bawah LBS Bina Group Berhad, memperoleh kontrak bernilai RM200.74 juta bagi cadangan pembangunan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bukit Tambun, Pulau Pinang.

MGB dalam satu kenyataan memaklumkan, kontrak tersebut diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd daripada Lien Dak Builders Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan merangkumi pembinaan bangunan utama yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dan dijangka siap dalam tempoh 21 bulan.

“Fasa pertama melibatkan pembangunan blok CLQ setinggi 19 tingkat yang menempatkan 408 unit asrama pekerja serta blok fasiliti empat tingkat termasuk tempat letak kenderaan, depot sisa bersepadu dan pondok keselamatan.

“Fasa kedua pula melibatkan pembinaan blok CLQ setinggi 18 tingkat dengan 358 unit asrama pekerja serta sebuah blok bangunan utiliti,”katanya.

Menurutnya, projek CLQ itu direka bagi menyediakan penginapan pekerja asing yang lebih teratur dan sistematik di Pulau Pinang, selain menyokong usaha mengurangkan kesesakan serta isu sosial.

MGB turut memanfaatkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang dalam pelaksanaan projek itu yang mampu mempercepatkan tempoh pembinaan sehingga 33 peratus serta mengurangkan keperluan tenaga kerja di tapak sehingga 31 peratus berbanding kaedah konvensional.

Setakat ini, MGB telah hampir menyiapkan lebih 15,000 unit rumah menggunakan teknologi IBS sekali gus membuktikan kecekapan kaedah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya akan terus memperkukuh keupayaan operasi serta rekod prestasi dalam menyiapkan projek berskala besar.

“Dengan pendekatan berdisiplin serta penggunaan teknologi digital terkini, kami memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Dengan penganugerahan kontrak baharu itu, jumlah baki buku pesanan MGB meningkat kepada kira-kira RM1.29 bilion setakat 28 Februari 2026, manakala jualan belum dibil daripada pembangunan hartanah kekal stabil pada RM394.94 juta.