MH370, Kami Tak Pernah Lupa

8 Mar 2025 • 12:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pesawat MH370 masih gagal ditemui sehingga hari ini - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Sebelas tahun lalu pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang tanpa jejak. 

Penerbangan yang dijadualkan ke Beijing, China itu gagal tiba ke lokasi, lantas menerbitkan pelbagai teori dan spekulasi. 

Pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan, termasuk di Lautan Hindi tetapi gagal memberikan sebarang hasil. 

MH370 yang dikendalikan Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Pembantu Juruterbang, Fariq Abdul Hamid terus hilang tanpa jejak, menjadikan ia misteri terbesar dalam dunia penerbangan setakat ini. 

Usaha Pencarian

Serentak dengan ulang tahun ke-11 kehilangan MH370 hari ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Australia telah melantik wakil bertauliah untuk membantu dalam usaha pencarian yang sedang dijalankan.

Pencarian diketuai oleh syarikat penerokaan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Ocean Infinity itu adalah sebahagian daripada usaha baharu untuk mendedahkan lokasi terakhir pesawat malang berkenaan dikesan. 

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam hal ini turut menyatakan komitmen untuk meneruskan pencarian, dengan fokus utama diberikan kepada mencari setiap petunjuk yang boleh dipercayai.

Pencarian berterusan MH370 di kawasan yang baru ditetapkan di selatan Lautan Hindi telah mendapat sokongan teknikal kritikal daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

image is not available
Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menyatakan komitmen untuk meneruskan pencarian - Gambar fail

MOT menerusi satu kenyataan berkata, kedua-dua organisasi telah melantik wakil bertauliah untuk memberikan kepakaran dan bantuan kepada misi pencarian yang bermula Februari lalu. 

Jelas jurucakap kementerian, misi berkenaan diketuai Ocean Infinity, dengan menggunakan kapal sokongan Armada 7806 untuk menjalankan pencarian di kawasan seluas 15,000 kilometer persegi, kira-kira 1,500 kilometer dari pantai Perth, Australia.

"Kerajaan menghargai kerjasama dan sokongan erat daripada semua pihak yang terlibat dalam salah satu usaha pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan," kata jurucakap tersebut. 

Mencari Jawapan

Pencarian yang diperbaharui ini adalah kritikal untuk mencari jawapan tentang penerbangan itu yang hilang pada 8 Mac 2014.

Penglibatan agensi antarabangsa dan keupayaan teknologi termaju mengukuhkan harapan untuk kerajaan mendedahkan tempat terakhir pesawat terbabit dikesan. 

"Kerajaan tetap komited untuk meneruskan usaha pencarian. Adalah menjadi kewajipan serius kami untuk mengejar setiap petunjuk yang boleh dipercayai dengan harapan dapat mendedahkan lokasi terakhir MH370 dan menyediakan jawapan yang amat ditunggu semua keluarga serta waris mangsa,“ jelas jurucakap itu lagi. 

Usaha pencarian yang diperbaharui ini adalah berdasarkan perjanjian "no find, no fee" dengan Ocean Infinity, yang akan meliputi kawasan sasaran seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Tahun lalu, Malaysia menerima cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian di sektor lebih kecil, berbanding misi sebelum ini yang meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi.

image is not available

Bercakap kepada akhbar harian tempatan, pakar Penerbangan Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain melahirkan keyakinan tentang kejayaan pencarian itu, berdasarkan kepakaran Ocean Infinity dan teknologi canggih digunakan.

"Ocean Infinity telah menganalisis data dengan teliti, termasuk koordinat yang diandaikan di mana MH370 mungkin berakhir di lautan. 

“Ini telah mengurangkan dengan ketara kawasan pencarian kepada 15,000 kilometer persegi berbanding 120,000 kilometer persegi sebelum ini," katanya.

Kapten Huzlan juga menyatakan bahawa pelaburan besar syarikat dalam misi itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap kejayaan yang bakal terhasil.

"Ocean Infinity tidak akan melakukan pelaburan awal sekurang-kurangnya AS$10 juta tanpa keyakinan yang kukuh bahawa ia akan berjaya,”tambahnya.

Komitmen pihak berkuasa yang diperbaharui untuk mencari jawapan menawarkan harapan bahawa misteri kehilangan MH370 akhirnya dapat diselesaikan, sekali gus memberi jawapan kepada keluarga dan waris yang masih setia menanti. 

Hari ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di X mengungkap kehilangan MH370 menerusi hantaran yang sarat kedukaan.

“Hari ini genap 11 tahun sejak kehilangan MH370. Ketika kami bertafakur sejenak untuk mengingati, hati ini terus bersama semua keluarga dan rakan-rakan yang terus berduka atas kehilangan ini. Bersama-sama, kami menghormati kenangan mereka dan ia abadi dalam ingatan,” katanya.

Sudah 11 tahun MH370, tapi sedetik kami tak lupa. - Getaran, 8 Mac 2025