
PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) memperluas siasatan terhadap syarikat lain yang dikaitkan dengan pengarah sama dalam kes penipuan pelaburan i-RPS.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya meminta supaya syarikat kedua dan ketiga yang mempunyai kaitan dengan pengarah serta ejen pemasaran terbabit turut disiasat dan dipertimbangkan untuk pendakwaan.
Katanya, permintaan itu dibuat selepas pendakwaan sebelum ini hanya membabitkan salah satu syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan.
“Tujuan kita hari ini adalah meminta supaya syarikat lain yang belum lagi dituduh juga disiasat dan dituduh, iaitu syarikat kedua dan syarikat ketiga yang ada kaitan dengan pengarah-pengarah ini dan ejen pemasaran yang menawarkan pelaburan-pelaburan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat aduan kepada Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, MHO berharap AGC dapat membuat koordinasi dengan agensi penyiasatan serta bahagian pendakwaan bagi memastikan tindakan turut dikenakan terhadap syarikat lain.
MHO sebelum ini memaklumkan individu berkaitan telah dikenakan pertuduhan, namun terdapat sebuah lagi syarikat berkaitan yang belum dikenakan pertuduhan terhadap individu terbabit.
MHO berkata, walaupun individu sama telah dikenakan pertuduhan, fakta transaksi bagi setiap syarikat adalah berbeza dan pihaknya mahu perkara itu turut diberikan perhatian oleh AGC.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Bustami,56 berkata, beliau sebelum ini telah dipanggil beberapa agensi untuk memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mempersoalkan mengapa kes mereka tidak dibawa ke pertuduhan sedangkan pengarah dan individu yang terlibat adalah sama.
“Saya telah dipanggil oleh beberapa agensi untuk memberi keterangan. Tetapi malangnya kami dapati kes kami itu tak dibawa. Walaupun pengarah dia, orang-orang yang terlibat adalah orang yang sama, hanya syarikat berbeza,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MHO desak AGC siasat syarikat berbeza, pengarah sama berkait kes i-RPS appeared first on Kosmo Online.






