liza17/04/2026 - 10:17 KUALA LUMPUR 17 April – Mi Technovation Bhd memperuntukkan AS$25 juta (RM98.8 juta) bagi tujuan pengembangan operasi kumpulan ketika syarikat itu merancang penyenaraian unit bahan semikonduktor di Singapura.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira AS$10 juta akan digunakan untuk membina sebuah kilang baharu di Senai, Johor bagi pengeluaran solder ball (bebola logam kecil untuk sambungan cip semikonduktor).
Kilang seluas 50,000 kaki persegi itu dijangka mula beroperasi pada separuh pertama 2027, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oh Kuang Eng.
Beliau berkata kilang tersebut akan menyediakan permintaan kepada pelanggan di pasaran global dan dijangka menyumbang sekitar 8% hingga 12% kepada unjuran hasil kumpulan pada 2027.
“Baki AS$15 juta daripada peruntukan berkenaan akan digunakan untuk menaik taraf operasi syarikat di Malaysia, Korea Selatan dan China bagi memperkukuh kecekapan serta kapasiti pengeluaran,” katanya, lapor The Edge.
Dalam perkembangan berasingan, unit bahan semikonduktor syarikat yang beroperasi di bawah Accurus Scientific kini menyumbang kira-kira separuh daripada pendapatan tahunan kumpulan.
Mi Technovation sebelum ini memaklumkan rancangan untuk menyenaraikan unit berkenaan di Bursa Singapura, dengan Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC) dilantik sebagai pengurus, penyelaras global dan bookrunner bagi penyenaraian tersebut.
Syarikat itu berkata penyenaraian di Bursa Singapura berpotensi berlaku seawal tahun ini, namun dijangka hanya dapat dimuktamadkan sekitar 2026 kerana masih di peringkat awal perancangan.
Dalam perkembangan operasi semasa, Mi Technovation turut optimis terhadap prestasi kumpulan bagi separuh pertama 2026 yang dijangka lebih baik berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh unit perniagaan peralatan semikonduktor. - DagangNews.com
