Mi Technovation perluas kapasiti kilang Tainan kepada 15,260 bilion bebola pateri menjelang 2029 - PublicInvest

Business & Finance
23 Oct 2026 • 10:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mi Technovation perluas kapasiti kilang Tainan kepada 15,260 bilion bebola pateri menjelang 2029 - PublicInvest Image from: Mi Technovation perluas kapasiti kilang Tainan kepada 15,260 bilion bebola pateri menjelang 2029 - PublicInvest hamden23/10/2026 - 10:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Mi Technovation Bhd merancang pengembangan besar-besaran kapasiti pengeluaran di kilangnya di Tainan, Taiwan, dalam tempoh 2028 hingga 2029, yang bakal meningkatkan kapasiti kumpulan hampir dua kali ganda kepada 15,260 bilion bebola pateri setahun.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata pengembangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi penambahan barisan pengeluaran di Tainan, selain rancangan membangunkan kemudahan pengeluaran baharu di Texas, Amerika Syarikat (AS), bagi memenuhi permintaan pelanggan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan tersebut meningkatkan jumlah barisan pengeluarannya daripada 19 kepada 33 menjelang 2029, dengan kapasiti tahunan keseluruhan berkembang daripada paras semasa kepada antara 11,340 bilion hingga 15,260 bilion bebola pateri.

 

Kilang Tainan yang kini mengendalikan 13 barisan pengeluaran, dengan kapasiti tahunan sebanyak 4,000 bilion hingga 5,000 bilion bebola pateri, akan memulakan kerja pengembangan dalam dua fasa mulai tahun depan.

 

Fasa pertama melibatkan penukaran satu barisan pengeluaran berasaskan plumbum sedia ada kepada barisan bebas plumbum dan dijangka siap pada 2028.

 

Fasa kedua pula merangkumi penambahan empat barisan pengeluaran yang dijangka beroperasi menjelang 2029, sekali gus meningkatkan kapasiti kilang Tainan kepada antara 6,640 bilion hingga 8,560 bilion bebola pateri setahun.

 

Selain Taiwan, Mi Technovation turut merancang membangunkan dua barisan pengeluaran dan sebuah pusat demonstrasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Texas menjelang akhir 2028.

 

Kemudahan itu dirancang bagi memenuhi keperluan pelanggan baharu dari AS yang sedang membangunkan salah satu kilang fabrikasi semikonduktor terbesar di dunia.

 

Kilang di Johor jalani proses kelayakan

Dalam perkembangan berkaitan, kilang baharu kumpulan di Senai, Johor, yang merangkumi tiga barisan pengeluaran di bawah fasa pertama, kini menjalani proses kelayakan dalaman dan dijangka menghantar sampel menjelang akhir 2026.

 

Proses kelayakan pelanggan lazimnya mengambil masa antara dua hingga enam bulan.

 

Fasa kedua kilang Senai, yang melibatkan tambahan empat barisan pengeluaran, dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2027, dengan peningkatan pengeluaran bermula pada awal 2028.

 

PublicInvest menjangkakan kilang Senai mencapai tahap penggunaan kapasiti setanding dengan kilang Tainan, selain berpotensi mencatatkan margin lebih baik, disokong pengembangan kapasiti pelanggan utama dan potensi pelanggan baharu di Singapura serta Taiwan.

 

Operasi Malaysia dijangka menambah 31% kepada kapasiti tahunan semasa kumpulan sebanyak 6,600 bilion hingga 8,900 bilion bebola pateri.

 

Berdasarkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26), kilang Senai berpotensi menyumbang keuntungan tambahan antara RM70 juta hingga RM90 juta apabila mencapai kapasiti penuh.

 

Keputusan kewangan

Sementara itu, Mi Technovation dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga FY26 pada 29 Oktober 2026.

 

Penganalisis menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY26 hingga FY28 sebanyak 7% hingga 14%, dengan mengambil kira peningkatan penggunaan kapasiti kepada 90%, kesan pencairan susulan penyenaraian Mi Material Holding serta margin keuntungan lebih tinggi.

 

Mi Material Holding, anak syarikat milik 73.7% Mi Technovation, dijadualkan membuat kemunculan di Bursa Saham Singapura pada 28 Oktober 2026, dengan anggaran permodalan pasaran sebanyak SGD891 juta (RM2.8 bilion) atau SGD1.80 sesaham.

 

Susulan pemisahan Mi Material, yang mengendalikan perniagaan bahan semikonduktor, penganalisis menukar kaedah penilaian Mi Technovation daripada gandaan harga kepada pendapatan (P/E) kepada kaedah jumlah bahagian (Sum-of-Parts).

 

Perubahan itu menghasilkan harga sasaran baharu sebanyak RM9.20, dengan saranan Outperform dikekalkan.

 

Bagi Mi Material, penganalisis mengunjurkan pertumbuhan keuntungan masing-masing sebanyak 205%, 23% dan 32% bagi FY26, FY27 dan FY28.

 

Syarikat itu dinilai menggunakan gandaan P/E sebanyak 27 kali, berbanding purata industri teknologi Singapura sebanyak 20 kali, sekali gus meletakkan nilai keseluruhannya pada SGD1.4 bilion (RM4.6 bilion).

 

Penilaian premium itu disokong bahagian pasaran sebanyak 24% dalam pasaran bebola pateri global, hubungan pelanggan yang berterusan serta asas pelanggan merangkumi pengeluar peranti bersepadu (IDM), syarikat faundri dan penyedia perkhidmatan pemasangan serta pengujian semikonduktor (OSAT).

 

Mi Material juga berpotensi mendapat manfaat daripada inisiatif semikonduktor Singapura. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved