Michael Madsen, pelakon terkemuka dalam filem Reservoir Dogs, Kill Bill, Sin City dan Donnie Brasco meninggal dunia semalam pada usia 67 tahun. Madsen juga pernah meminjam suara untuk permainan video Grand Theft Auto III, Dishonored dan juga kembali melakonkan watak Mr Blonde untuk permainan adaptasi Reservoir Dogs.

Madsen ditemukan dalam keadaan tidak sedar diri di rumah beliau yang terletak di Malibu, California. Apabila ambulans tiba, beliau disahkan telahpun meninggal dunia dengan polis mengatakan mereka tidak mengesyaki terdapat sebarang elemen jenayah. Dalam kenyataan berasingan, pengurus Madsen berkata kematian adalah disebabkan oleh serangan jantung.
Sepanjang kerjaya 43 tahun, Madsen berlakon dalam 328 produksi filem, siri TV dan permainan video. Beliau mula dikenali ramai selepas memegang watak ikonik Mr Blonde dalam filem Reservoir Dogs arahan Quentin Tarantino. Beliau juga adalah pilihan pertama Tarantino untuk watak Vincent Vega dalam filem Pulp Fiction tetapi digantikan oleh John Travolta kerana beliau memilih untuk berlakon dalam filem Wyatt Earp.
Dalam dunia permainan video Madsen meminjam suara kepada watak Toni Cipriani dalam Grand Theft Auto 3, Daud dalam siri Dishonored, Shimano dalam Yakuza dan Travis Baker dalam Crime Boss : Rockay City. Watak dalam Rockay City menggunakan wajah beliau sepenuhnya.

