
LOS ANGELES - Pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, terus melakar sejarah apabila menerima bintang di Hollywood Walk of Fame dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hollywood Boulevard.
Dalam ucapannya, Yeoh, 64, menyifatkan penghormatan itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai dan penuh makna selepas lebih tiga dekad mengharungi industri perfileman antarabangsa.
Menurut beliau, bintang tersebut bukan sekadar simbol peribadi, sebaliknya mewakili ramai individu yang menyokong perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam filem aksi Hong Kong pada era 1990-an.
Beliau turut mendedikasikan penghormatan berkenaan kepada ibunya serta mendiang bapanya, sambil menyifatkannya sebagai “bintang kita”.
Majlis berkenaan turut dihadiri pengarah tersohor, Ang Lee, dan pembikin filem Jon M. Chu. Ang Lee memuji Yeoh sebagai pelakon berkaliber dengan profesionalisme tinggi, manakala Jon M. Chu menyifatkannya sebagai sumber inspirasi kepada generasi baharu dalam industri filem global.
Yeoh mula mencipta nama menerusi filem aksi Hong Kong sebelum meraih pengiktirafan antarabangsa melalui karya seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.
Pada 2023, beliau mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Akademi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Everything Everywhere All at Once, sekali gus menjadi pelakon Asia pertama memenangi kategori tersebut.
Selain itu, Yeoh turut menerima Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Filem Antarabangsa Berlin, memperkukuh reputasinya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri perfileman dunia. - Getaran, 19 Februari 2026
