
Krisis kekurangan bekalan RAM menyebabkan Apple terpaksa menaikkan harga peranti mereka secara mendadak minggu lalu dengan ada yang mencecah puluhan ribu ringgit lebih mahal. Pusat data kecerdasan buatan (AI) telah dipersalahkan menyebabkan harga RAM meningkat lebih empat kali ganda sejak Oktober tahun lalu.
Tetapi hujung minggu lalu, Ketua Perniagaan Micron Sumit Sadana memberikan petanda Apple menyumbang kepada krisis harga RAM yang tinggi sekaran. Dalam kenyataan yang diberikan kepada Wall Street Journal, Sadana berkata berkata pendapatan Micron jatuh teruk semasa kemerosotan industri kerana beberapa pelanggan menekan harga rendah yang menghalang pelaburan dilakukan untuk meningkatkan kapasiti. Pelaburan industri terhenti pada 2023 menurut beliau akibat harga dan margin yang “sangat buruk”.

Walaupun nama Apple tidak dipetik, mereka adalah antara pelanggan utama Micron yang membekalkan DRAM dan NAND untuk iPhone, iPad, dan Mac. Apple terkenal dengan rundingan jangka panjang yang memberi mereka harga lebih rendah.
Lambakan RAM pasca pandemik Covid menyebabkan harga memori jatuh tiga tahun lalu. Kesemua pengeluar RAM utama dunia seperti Samsung, SK Hynix dan Micron mencatatkan kerugian berbilion Ringgit pada waktu tersebut. Tetapi sekarang permintaan jauh melebihi kapasiti pengeluaran sehingga wujud laporan pengeluar boleh menaikkan harga sehingga 100% dan ia masih akan dibeli pelanggan.
Semua pengeluar peranti elektronik dunia telah menaikkan harga produk mereka sejak awal 2026. Pada waktu yang sama ia juga mengakibatkan ASUS dan CMF by Nothing tidak mengeluarkan produk baharu kerana gagal mendapatkan bekalan RAM. Krisis RAM hanya dijangka selepas selepas 2027 apabila beberapa kilang pengeluaran RAM baharu mula beroperasi.


