Microsoft Akan Mempercepatkan Pengaktifan File Explorer Tidak Lama Lagi

TechnologyDigital
24 Nov 2025 • 12:30 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Menurut Microsoft, salah satu daripada aduan yang banyak diterima oleh mereka ialah berkenaan perisian File Explorer yang merumahkan akses kepada fail-fail dan juga pelbagai tetapan fungsi untuk sistem operasi Microsoft Windows.

Aduan yang diterima dilihat sering berkenaan mengapa perisian tersebut selalu perlahan untuk diaktifkan, seperti ia memerlukan memuatkan banyak kandungan sebelum ia boleh digunakan. Malah, kadang-kala menatal perisian tersebut juga adalah perlahan.

Untuk memperbaiki isu ini, Microsoft mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan satu ciri baru dimana File Explorer akan sentiasa aktif di latar belakang sistem operasi untuk memastikan bahawa ianya sentiasa boleh diakses dengan lebih cepat dan pantas.

image is not available

FileExplorer.exe dan Explorer.exe adalah dua proses aplikasi yang berbeza, dimana File Explorer merupakan perisian menu untuk mengakses fail-fail dan tetapan pada sebuah komputer. Explorer.exe pula merupakan proses dimana menu seperti Taskbar, desktop dan notifikasi perlukan sebelum ia boleh diaktifkan.

Apabila diperkenalkan kelak, File Explorer nampaknya akan diaktifkan secara lalai, dan anda boleh memilih untuk menutup fungsi ini melalui menu tetapan File Explorer Options dibawah tab Views, dengan menyahaktifkan fungsi “Enable window preloading for faster launch times“.

Microsoft juga dilihat sedang menguji sejumlah fungsi baru lain untuk File Explorer, dan dijangka akan memperlihatkannya untuk pengguna Windows 11 secara lebih meluas kelak.