Microsoft Bertekad Tidak Akan Menawarkan Perkhidmatan AI Lucah

TechnologyBusiness & Finance
24 Oct 2025 • 1:03 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Kecerdasan buatan (AI) amat berguna untuk memproses dokumen yang panjang, membantu penulisan apabila buntu dan menghasilkan grafik pantas jika tiada bakat menggunakan Photoshop. Tetapi selepas tiga tahun ditawarkan secara terbuka, masih tiada syarikat AI yang mencatatkan keuntungan bersih dengan kos semakin meningkat bagi mengejar sasaran menghasilkan kecerdasan am buatan (AGI).

OpenAI minggu lalu menerima kritikan selepas melancarkan perkhidmatan yang mengandungi elemen dewasa sungguhpun telah berlaku insiden Meta AI didapati melakukan perbualan lucah dengan pengguna bawah umur.

image is not available

Semalam CEO Microsoft AI, Mustafa Suleyman menegaskan Microsoft tidak akan menawarkan perkhidmatan AI lucah kepada pelanggan. Sebaliknya mereka akan membiarkan syarikat lain menawarkannya kepada pelanggan.

Isu utama dengan kandungan “dewasa” ialah ia mungkin diakses pengguna bawah umur dan akan meningkatkan lagi pandemik “kesunyian” dalam kalangan pengguna. Isu manusia jatuh cinta dengan chabot telahpun wujud di Jepun sejak lebih sedekad selepas teman wanita hologram ditawarkan dan kini berkembang dengan pesat selepas chatbot AI menjadi popular.

Selepas OpenAI mengemaskini model ChatGPT-5 pada Ogos lalu, segelintir pengguna merayu model lama ditawarkan kembali kerana ChatGPT tidak lagi mesra dan terlalu robotik sehingga ada yang mengatakan teman wanita maya mereka seperti telah menjalani lobotomi.