Saya amat meminati teknologi sejak kecil lagi. Ini semua kerana terpengaruh dengan filem-filem sains fiksyen bertemakan perisikan dengan gajet yang tidak masuk akal ketika itu tetapi sudah menjadi realiti sekarang. Lihat sahaja filem seperti Agent Cody Banks, Mission Impossible, James Bond, Jason Bourne dan banyak lagi.

Terbaru, Microsoft telah dianugerahkan paten beg galas yang dikuasakan kecerdasan buatan. Beg ini turut dilengkapi dengan kamera, speaker, mikrofon, cip pemprosesan, sambungan ke Internet, storan dan boleh berkomunikasi dengan peranti lain.

Beg ini dikatakan akan dilengkapi dengan pembantu maya. Besar kemungkinan bukan Cortana kerana ia sudah dimatikan. Tujuan beg ini adalah untuk membantu pengguna seperti ketika berjalan di luar negara, beg ini boleh memberikan arahan selok-belok agar pengguna tidak sesat, boleh memberitahu harga barang di kedai, boleh melihat persekitaran, boleh memberi peringatan kepada pengguna untuk hadir ke konsert jika ternampak poster di jalanan dan banyak lagi.

Adakah ini beg yang saya idamkan? Mungkin tidak kerana ia hanya sebuah beg galas dengan ciri yang sama pada sebuah telefon pintar. Walau bagaimanapun ia adalah selangkah ke hadapan untuk sebuah peranti boleh pakai yang lebih maju. Kebanyakan beg pintar sekarang sekadar meletakkan panel LED atau penjejak objek dan beg ini jika menjadi realiti mungkin akan mengembangkan lagi pasaran beg pintar.
- Sumber
- MSPoweruser
