Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, Microsoft dapat dilihat sangat serius dalam pengenalan teknologi dan perkhidmatan AI didalam perisian-perisian mereka. Teknologi AI Copilot telah dibangunkan untuk memudahkan tugas-tugas harian di pejabat dan di rumah, dan kini nampaknya mereka mahu cuba untuk menerapkan “budaya” tersebut dalam proses seharian pekerja-pekerja mereka.
Business Insider telah melaporkan bahawa satu memo telah dikeluarkan baru-baru ini oleh pihak pengurusan Microsoft berkenaan penggunaan sistem AI dalaman yang telah dibina untuk pekerja-pekerja mereka.

Bagi Microsoft, penggunaan teknologi AI bukan lagi satu pilihan untuk para pekerja mereka. Perkhidmatan-perkhidmatan yang telah dibangunkan untuk kegunaan syarikat tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka, dan semua lapisan pekerja, dari eksekutif ke pihak pengurusan perlu mula menerapkan penggunaannya dalam kerja seharian mereka.
Julia Liuson, Timbalan Presiden Korporat Bahagian Pembangunan di Microsoft telah meminta pihak pengurusan untuk memasukkan penggunaan teknologi AI sebagai salah satu metrik apabila menilai prestasi produktiviti pekerja dibawah pasukan mereka.
Ia juga telah dilaporkan bahawa beberapa perbincangan dalaman mengatakan bahawa pengumuman baru ini adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh pihak pengurusan syarikat untuk cuba menetapkan penggunaan AI, dan menjadikan metrik penggunaan ini sebagai salah satu mata penilaian rasmi syarikat.
Ini mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana sekiranya Microsoft mahu lebih ramai orang menggunakan teknologi AI yang dibina, para pekerja syarikat itu sendiri juga haruslah menggunakannya juga, sebagai satu cara untuk melihat fungsi-fungsi apakah yang benar-benar berguna dalam senario dunia sebenar.
Penggunaan Copilot di kalangan pengguna biasa dan korporat dilaporkan masih sangat rendah apabila dibandingkan dengan ChatGPT, walaupun kedua-dua teknologi ini dibangunkan menggunakan model bahasaraya yang sama. Apa yang mengeruhkan keadaan lagi untuk Microsoft ialah Copilot kini datang terbina didalam sistem operasi Windows 11, manakala pengguna perlu memuat-turun ChatGPT ataupun menggunakannya melalui laman web OpenAI.
Perkara ini dapat diibaratkan seperti isu lama Microsoft sebelum ini, dimana pelayar web Internet Explorer digunakan hanya untuk memuat-turun pelayar web lain seperti Google Chrome dan Mozilla Firefox sebelum pengenalan Microsoft Edge.




