Microsoft Malaysia Mengemaskini Penawaran Peranti Surface Dengan Snapdragon X

TechnologyDigital
16 Jul 2024 • 12:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa Microsoft Malaysia telah membuka pra-tempahan untuk peranti-peranti tablet Microsoft Surface Pro 11 dan Microsoft Surface Laptop 7 yang dikuasai cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus untuk pasaran tempatan.

Hari ini, Microsoft Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan baru mengenai pra-tempahan tersebut, dan telah membuat beberapa perubahan, bukan dari segi tanda harga, tetapi dari segi penawaran model yang akan dijual.

image is not available

Untuk penawaran tablet Microsoft Surface Pro 11 dan komputer riba Microsoft Surface Laptop 7 (13.8 inci), model-model paling mahal mereka yang hadir dengan memori 32GB dan storan 1TB yang dijual pada harga RM10,999 dan RM10,399, mereka hanya akan ditawarkan melalui kedai elektronik Harvey Norman sahaja.

Microsoft Malaysia juga mengemaskini siri Microsoft Surface Laptop 7 mereka, dimana mereka tidak lagi akan membawa masuk tiga model komputer riba tersebut, termasuklah model dengan paparan 13.8 inci, memori 16GB dan storan 1TB, dan dua model paling premium 15 inci yang berharga RM8899 dan RM10,999.

Model-model lain dilihat masih lagi ditawarkan oleh pengedar-pengedar lain, cuma model-model paling premium nampaknya hanya akan dibawa oleh Harvey Norman.