Microsoft memecat Alon Haimovich, Pengurus Besar Microsoft Israel, bersama beberapa lagi pengurus kanan lain selepas siasatan dalaman mendapati mereka terlibat dengan skandal intipan besar-besaran warga Palestin menggunakan infrastruktur Azure.
Walaupun skandal dilaporkan tahun lalu, Microsoft hanya memulakan siasatan bulan lalu atas kebimbangan ia mendedahkan mereka kepada liabiliti undang-undang di Eropah. Sementara Microsoft mencari pengurus besar baharu, Microsoft Israel telah diletakkan di bawah pengurusan Microsoft Perancis.

Microsoft menghalang Israel daripada menggunakan perkhidmatan awanan Azure mereka pada Oktober tahun lalu. Pada bulan Ogos lalu, muncul laporan mendedahkan Azure digunakan Unit 8200 yang merupakan unit intipan tentera Israel untuk mengintip perbualan telefon warga Palestin sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.
Selepas menerima tekanan, protes dan didakwa terlibat dengan genosid di Palestin, Microsoft mula melakukan siasatan menggunakan pihak ketiga. Pada ketika itu Microsoft menegaskan penggunaan Azure untuk penyimpanan fail data panggilan telefon yang diperoleh melalui pengawasan luas atau besar-besaran orang awam di Gaza dan Tebing Barat adalah dilarang oleh syarat perkhidmatan.
Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland. Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.
Microsoft ialah antara syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai pergerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) antarabangsa kerana penglibatan mereka dengan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid secara aktif di Palestin menurut laporan rasmi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.




