OpenAI, Google, Tesla dan Apple kehilangan ramai kakitangan dengan kepakaran kecerdasan buatan (AI) ke tangan Meta kerana dipancing dengan mewah. Pencipta ChatGPT, Shengjia Zhao dilaporkan menerima ganjaran $300 juta daripada Mark Zuckerberg untuk berpindah ke Meta Superintelligence Labs. Kini muncul pula laporan Microsoft menggunakan taktik yang sama untuk memancing pula kakitangan Meta.

Menurut Business Insider, Microsoft mempunyai senarai kakitangan Meta yang dianggap penting untuk pembangunan AI. Tawaran gaji sehingga $4 juta setahun dan memberikan pakej ganjaran yang sama seperti Meta kepada mereka yang bersetuju berhijrah ke Microsoft. Bagi memastikan Microsoft tidak ketinggalan dalam perang AI, pelaburan besar ke atas kakitangan sanggup dilakukan.
Perubahan arah tuju Microsoft dapat dilihat dengan jelas tahun ini. Bulan lalu Microsoft membuang sekitar 9000 kakitangan dengan 6000 daripadanya terlibat dalam pembangunan perisian dengan selebihnya adalah dari perniagaan Xbox. AI dipercayai dapat menggantikan tugas manusia dan bagi mengejar ganjaran belanga emas AGI di hujung pelangi, pelaburan besar dilakukan ke atas AI.

