Microsoft Setuju Tambah Pelaburan, Bukti Asas Ekonomi Negara Kukuh - PM

Business & Finance
2 May 2024 • 4:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Satya Nadella (kiri) dan Perdana Menteri pada Forum National AI Leadership - gambar PMO

KUALA LUMPUR - Gergasi teknologi, Microsoft mengumumkan persetujuan untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan untuk tempoh empat tahun mendatang itu adalah yang terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft sepanjang 32 tahun di Malaysia. 

Menurut beliau, pengumuman oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella itu membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh.

“Ia termasuk dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik,” katanya.

Jelas Anwar, pelaburan berkenaan meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Ia turut melibatkan pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya.

image is not available
Perdana Menteri (tengah) ketika bercakap pada Forum National AI Leadership - gambar PMO

Beliau memberitahu, Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan itu yang selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.

“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum. Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini. 

“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Satya menerusi pengumuman berkenaan berkata, Microsoft benar-benar komited untuk memastikan syarikat terbabit memiliki infrastruktur bertaraf dunia di Malaysia.

Katanya, ia bagi membolehkan ia digunakan semua pertubuhan, pembangun perisian serta syarikat pemula untuk membangunkan negara ini, rantau ASEAN dan dunia. - Getaran, 2 Mei 2024